Rahmat Ismail (kanan) dan isterinya, Mek Salema Ngah (tengah) mengemas hasil kutipan sayur bersama enam anak mereka ketika di Kampung Kepong, Kuala Terengganu, baru-baru ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Alor Limbat, Alias Abdullah akan menyiasat kes sebuah keluarga yang bergantung kepada pendapatan menjual pucuk paku.
"Jika benar dia (Rahmat dan isteri) ingin berniaga, dia perlu cari tapak dahulu dan kita akan uruskan yang selebihnya," katanya.
Utusan Malaysia melaporkan, rutin harian Mek Salema Ngah, 42, biasanya akan bermula seawal pukul 6 pagi.
Setelah menyiapkan sarapan secara ala kadar untuk keluarganya, dia akan bergegas ke Pasar Borong Wakaf Beruas yang terletak tidak jauh dari rumahnya.
Tujuannya adalah untuk menjual ulam-ulaman termasuk pucuk paku dan daun kayu yang dikutip suaminya, Rahmat Ismail, 40, pada petang hari sebelumnya.
Dengan pendapatan RM25 hingga RM30 sehari itulah pasangan tersebut membesarkan enam anak mereka termasuk empat yang masih bersekolah.
Menurut Mek Salema, pendapatan yang diperoleh hasil jualan itu hanya cukup untuk menyara kehidupan mereka sekeluarga.
Selebihnya, kata Mek Salema, adalah bergantung kepada ihsan jiran tetangga terdekat.
"Kalau nak ikut, memang tak cukup (pendapatan dan belanja harian). Tapi ok lah sebab yuran sekolah pun boleh bayar sikit-sikit.
"Lagipun, rumah yang saya duduk ni rumah peninggalan abang sulung. Walaupun tak ada elektrik dan air, kami bersyukur kerana abang yang tinggal dekat rumah sanggup tolong," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kepong baru-baru ini.
Empat daripada anak Mek Salema yang masih bersekolah ialah Norida, 17, Norsyafirah, 15, Mohd. Hafiz, 13, dan Aiman yang bersekolah tabika.
Anak sulung mereka iaitu Mohd. Baharuddin, 18, pula pernah bekerja sebelum ini tetapi kini menganggur manakala yang bongsu, Norsyafikah pula baru berusia setahun setengah.
Dalam pada itu, Rahmat pula berharap agar diberi pekerjaan tetap bagi menanggung kehidupan mereka lapan beranak.
"Kalau tak dapat kerja tetap pun, dapat tapak untuk berniaga sudah cukup," katanya yang pernah mengambil upah memasang tingkap 10 tahun lalu.
Pada masa sama, Rahmat turut berharap agar pihak yang berkenaan dapat menghulurkan bantuan bagi memperbaiki atap rumah mereka yang rosak akibat ribut baru-baru ini.
"Saya nak minta bantuan PPRT (Program Perumahan Rakyat Termiskin) susah sebab tanah ni (tapak rumah) milik abang ipar," ujarnya.
No comments:
Post a Comment