Monday, September 12, 2011

Penyerahan Kapal RV Discovery Kepada Umt Ditunda Sehingga 30 Sept

Penyerahan kapal penyelidik milik Universiti Malaysia Terengganu (UMT), 'RV Discovery' yang dijadual dilakukan pada 15 September (Khamis) ini terpaksa ditunda sehingga 30 Sept ini berikutan masih ada beberapa kerja teknikal yang perlu disiapkan.

Naib Canselor UMT Datuk Prof Aziz Deraman berkata kapal tersebut telah melalui pelbagai ujian daripada segi ketahanan berlayar dan hanya menunggu penyerahan kapal tersebut daripada kontraktor yang membina kapal itu.

"Cuma tinggal beberapa perkara di bawah seliaan kontraktor perlu dilakukan menyebabkan kapal ini masih tidak dapat diserahkan kepada kita," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bengkel Pengendalian dan Pengurusan Data Pelayaran Oseanografi UMT dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Kuala Terengganu, semalam.

Kapal RV Discovery yang dibina oleh UMT ini merupakan kapal penyelidikan dan latihan sendiri yang pertama di Malaysia yang mampu memberi kemudahan kepada UMT mengkaji dan menjelajah ke seluruh perairan tanpa sempadan.

Kapal seberat 300 tan itu yang dibina dengan kos RM15 juta bermula September 2008, mampu menampung penginapan sehingga 23 anak kapal pada satu-satu masa.

Ia juga dapat memberi pendedahan dan latihan kepada pelajar-pelajar jurusan Sains Samudera, Biologi Marin, Sains Nautika, Pengangkutan Maritim serta Teknologi Maritim.

"Salah satu keistimewaan kapal ini ialah dilengkapi peralatan untuk belayar dalam keadaan yang baik selama 15 hari tanpa henti selain daripada kelajuannya antara 12.6 knot dan 13.6 knot," katanya.

Aziz berkata Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah dijangka merasmikan majlis penyerahan tersebut pada 30 Sept ini.

No comments:

Post a Comment