Rosmah (tiga dari kanan) bersama peserta akhir BYEE 2011 pada majlis di Sutera Room, Cyberview Lodge & Resort Cyberjaya, baru-baru ini.
Usaha mengubah pandangan dunia mengenai tanggungjawab menjaga alam sekitar, tidak memerlukan seorang yang memiliki kuasa luar biasa, sebaliknya hanya perlu dikendalikan mereka yang bermotivasi tinggi.
Rumusan itu diperoleh selepas sesi Perbincangan Meja Bulat Bayer Young Environmental Envoy (BYEE).
Perbincangan itu dihadiri pemenang persidangan berkenaan pada 2009, Felicity Kuek Wen Ik dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT); pemenang BYEE 2010, Haneesa Zahidah Mohamed Shah Redza dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Jerry Lee Lin Jian dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Sesi dipengerusikan Jeanisha Wan dan Pengarah Urusan Bayer (M) Sdn Bhd, Herbert Dittmar dan disertai Penolong Pengurus Komunikasi Korporat Bayer, Karen Koh sebagai ahli panel.
Dittmar berkata, BYEE bertujuan mewujudkan kesedaran dalam kalangan generasi muda mengenai keperluan menjaga alam sekitar.
“Ia juga sebahagian tanggungjawab sosial korporat syarikat dan dijadikan landasan kepada golongan muda di institusi pengajian tinggi berkongsi inspirasi menjadikan dunia tempat bebas pencemaran.
“Penganjuran memasuki edisi keenam menunjukkan peningkatan penyertaan. Sambutan itu mencerminkan golongan muda hari ini, peka kepada masalah semasa,” katanya.
Felicity kini melanjutkan pengajian di Universiti Teknologi Swinburne, Kuching, Sarawak, berkata pemilihannya sebagai pemenang BYEE 2009 adalah pencapaian moral dalam usaha memelihara dan memulihara spesies penyu ketika di UMT.
Projek berkenaan katanya, masih diteruskan melalui Unit Penyelidikan Penyu Laut (SEATRU) UMT. BYEE memberi pengalaman berharga untuk meningkatkan keyakinan diri.
“Pada masa akan datang, saya berharap lebih banyak usaha dilaksanakan terutama dalam bidang biodiversiti marin,” katanya.
Sementara itu, Haneesa Zahidah, berkata penubuhan Kelab Alam Sekitar UAIM dikenali Pasukan Hijau menjadi permulaan kepadanya supaya lebih agresif dalam memperjuangkan isu penjagaan alam sekitar.
Sejak kecil lagi katanya, dia memiliki sifat sayangkan alam sekitar, bukan saja tumbuhan, bahkan haiwan dan serangga yang wujud di sekeliling kita.
“Pembabitan dalam BYEE 2010 dan dipilih pemenang adalah bonus terhadap usaha saya dan rakan-rakan di UIAM. Kami mewujudkan pusat pelupusan (sampah) sehenti di kampus dan mendapat kerjasama membanggakan,” katanya.
Untuk sesi perbincangan kali ini, Natassia Julianna Zaini dari Universiti Kuala Lumpur dan Lim Gene-Harn dari Universiti Sains Malaysia dipilih sebagai pemenang BYEE 2011. Natassia akan mewakili Malaysia pada BYEE di Jerman bersama-sama pemenang seluruh dunia.
Hadiah disampaikan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor pada Majlis Anugerah Bayer Young Environmental Envoy di Sutera Room, Cyberview Lodge & Resort Cyberjaya, baru-baru ini.
No comments:
Post a Comment