Thursday, September 15, 2011

Kemiskinan di Malaysia Menurun - Laporan PBB

Abang Johari Tun Openg (kanan) menerima cenderamata daripada Kamal Malhotra pada Seminar Matlamat Pembangunan Milennium 2011 di Kuching, Sarawak, semalam.

Laporan Pertububuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan Malaysia telah mencapai objektif Matlamat Pembangunan Milenium (MDG) dalam mengurangkan kadar kemiskinan yang menurun daripada 17 peratus tahun 1990 kepada lapan peratus (2000) dan di bawah empat peratus (2009).

Penyelaras Residen PBB, Malaysia, Kamal Malhotra berkata, bagaimanapun kawasan luar bandar Sarawak dan Sabah masih berada di luar pencapaian tersebut dan Malaysia perlu menggubal dasar yang boleh dilaksanakan secara berkesan dengan pendekatan memenuhi keperluan golongan terbabit.

Selain itu menurutnya, kehadiran ke sekolah yang digunakan oleh Malaysia sebagai ukuran kadar celik huruf telah melonjak dengan ketara iaitu di atas 95 peratus sama ada lelaki atau perempuan.

Namun begitu katanya, ramai pakar mempersoalkan ketepatan kaedah ini memandangkan sesetengah kumpulan minoriti di Sarawak terus ketinggalan jika menggunakan pendekatan berkenaan.

"Bagaimanapun, Malaysia telah berjaya memberi akses pendidikan kepada kaum wanita meskipun penyertaan golongan ini dalam tenaga kerja kekal tidak berganjak sepanjang 25 tahun pada kadar 46 peratus dan Malaysia perlu meningkatkannya jika mahu memperoleh manfaat sama ada secara ekonomi mahupun lain-lain bidang.

"Wakil kaum wanita di peringkat Parlimen, Dewan Undangan Negeri, jawatan pengurusan serta eksekutif masih rendah walaupun mengatasi lelaki pada nisbah 3:2 dalam pendaftaran pendidikan di peringkat tinggi," katanya ketika berucap pada Majlis Seminar, Malaysia: Matlamat Pembangunan Milenium (MDG) 2011 di sini, hari ini.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar, Datuk seri Abang Johari Tun Openg.

Dalam pada itu, Kamal berkata, MDG seterusnya ialah memastikan kemampanan alam sekitar dengan Malaysia menjadi contoh dalam peruntukan air bersih dan peningkatan sanitasi untuk rakyatnya tetapi ramai penduduk di Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak masih kekal tanpa akses kepada kedua-duanya.

Jelas beliau, pengembangan infrastruktur asas ke kawasan luar bandar di Sarawak dan Sabah juga masih tidak memuaskan, menyumbang kepada jurang digital yang luas antara bandar dan luar bandar termasuk antara kumpulan penduduk berpendapatan tinggi dan rendah.

Bagaimanapun, katanya, dalam perkongsian sejagat untuk pembangunan, Malaysia telah beralih daripada menjadi penerima bersih bantuan pembangunan rasmi (ODA) kepada rakan pembangunan dengan negara membangun lain terutamanya melalui Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP).

"Walau bagaimanapun, kepentingan negara dan dasar asing akan mendapat manfaat daripada pendekatan lebih strategik kerjasama Selatan-Selatan dan membolehkannya menonjol dalam sistem antarabangsa selain mendapat sebahagian daripada kepimpinan yang ditunjukkan dalam bidang ini pada masa lalu," katanya.

Sementara itu, Kamal memberitahu nisbah kematian keibuan dilaporkan mendatar sekitar 28 bagi setiap 100,000 kelahiran hidup bagi sedekad lalu, namun ia masih agak tinggi berbanding negara maju yang mencapai 6 bagi setiap 100,000 kelahiran hidup.

Dalam usaha memerangi HIV/AIDS, malaria dan penyakit-penyakit lain di Malaysia, katanya, kadar kaum wanita dengan HIV juga telah meningkat sekali kali ganda daripada 9.4 peratus bagi kes yang dilaporkan pada tahun 2000 kepada 18 peratus pada tahun 2009.

"Kadar penyakit tuberkulosis pula kekal dan tidak berubah dari tahun 1990, namun bilangan kes-kes baru telah meningkat sebanyak 80 peratus manakala bilangan kematian melonjak sebanyak 2.5 kali ganda," ujarnya.

No comments:

Post a Comment