Sunday, September 11, 2011

Caj Prabaya - Syarikat Telekomunikasi Perlu Akur Saranan PM

Setiausaha Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional, (BN) Terengganu, Datuk Ismail Abdul Mutalib berkata, kepentingan pengguna mesti diutamakan dalam isu caj prabayar memandangkan tidak ramai yang mampu menggunakan perkhidmatan pasca bayar.

Ini kerana pengguna telefon bimbit membabitkan semua golongan seperti pelajar, kakitangan kerajaan dan rakyat berpendapatan rendah di luar bandar.

"Jika cukai perkhidmatan dikenakan, bermakna mereka perlu menyediakan duit tambahan sebelum dapat menambah nilai kredit telefon bimbit," katanya.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin semalam berkata syarikat telekomunikasi perlu akur dan membuat pertimbangan wajar terhadap saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ia supaya dikaji semula keputusan mengenakan cukai perkhidmatan enam peratus kepada pengguna.

Katanya, langkah menarik balik caj itu selari dengan usaha kerajaan mengawal kenaikan harga barang sebagai satu bidang keberhasilan utama negara (NKRA) yang baharu supaya tidak membebankan rakyat.

"Pada saya kenaikan caj yang akan dikenakan kepada pengguna tidak sesuai buat masa ini. Saya yakin syarikat telekomunikasi masih mampu menyerap tanggungan itu dan meraih keuntungan selesa tanpa membebankan pengguna," katanya selepas menghadiri sambutan Aidilfitri anjuran Pejabat Pelajaran Daerah Bachok di Pusat Kokurikulum Tangok di Bachok, semalam.

Tambahnya, syarikat telekomunikasi perlu melaksanakan tanggungjawab sosial bagi meringankan beban pengguna yang menjadi pelanggan setia perkhidmatan mereka.

Di Pahang, Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Sentol, Datuk Shahaniza Shamsuddin pula menyifatkan pelaksanaan cukai tersebut akan memberi kesan kepada populariti kerajaan.
"Rakyat mungkin beranggapan cukai itu diluluskan oleh kerajaan, sedangkan ia adalah inisiatif syarikat itu sendiri," katanya.

Di Lumut, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir menggesa orang ramai menggunakan kuasa pengguna sekiranya perundingan kerajaan dengan syarikat telekomunikasi menemui jalan buntu.

"Kerajaan Perak secara amnya bersama rakyat tidak menyokong pelaksanaan cadangan itu yang sememangnya akan memberi kesan kepada rakyat.

"Namun, jika mereka masih hendak teruskan juga, saya percaya kita mempunyai pilihan lain," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri UMNO Bahagian Lumut.

Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment