Sunday, September 11, 2011

Pil Kuda - Belia Pasti Teruja Dengan Pendapatan RM500 Sehari

Membimbangkan!

Laporan bahawa segelintir remaja Terengganu dikesan aktif menjual pil kuda (methamphetamine) kerana boleh meraih pendapatan lumayan sehingga RM500 sehari atau RM15,000 sebulan memerlukan perhatian semua pihak.

Jika benar apa yang dilaporkan, pastinya kegiatan ini memang menarik untuk remaja kerana mereka tidak perlu bekerja kuat, malah tidak perlu sebarang kelululusan dan modal pun!

Lebih menakutkan, kebanyakan pil jenis ini dikaitkan dengan kumpulan merempit yang dikatakan menjadi masalah di Terengganu hari ini.

Malah, membaca beberapa blog, ada remaja menggunakan pil ini untuk menguatkan nafsu seks.

Pendedahan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Supritendan Roslan Abd. Wahid bahawa siasatan mendapati setiap 10 biji pil kuda yang dijual itu boleh meraih pendapatan RM50 memerlukan perhatian serius.

Katanya, maklumat itu diperoleh hasil siasatan terhadap golongan terbabit yang ditahan kerana terlibat dalam kegiatan menjual pil kuda sejak beberapa tahun lalu.

"Mereka menjadikan mat rempit sebagai pelanggan dan kebiasaannya tiada masalah untuk menjual 10 biji.

"Hasil keuntungan digunakan sebagai modal untuk mengambil stok yang lebih banyak. Jumlah itu akan meningkat kepada 100 biji yang akan memberi keuntungan sehingga RM500 sehari atau RM15,000 sebulan," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Ibu Pejabat Polis Kontinjen di Kuala Terengganu, kelmarin.

Tambah Roslan, sejak Januari hingga Ogos lalu 50 kes di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 berjaya ditumpaskan berbanding hanya 30 kes tahun lalu.

"Kes yang diklasifikasikan di bawah seksyen itu adalah serius kerana jika sabit kesalahan ia boleh membawa kepada hukuman gantung sampai mati," katanya.

Beliau berkata, dalam tempoh sama 7,890 ditangkap atas atas kesalahan dadah tahun ini berbanding 7,602 pada tahun 2010.

No comments:

Post a Comment