Roslan Abd. Wahid (tiga dari kiri) menunjukkan rampasan pil kuda dan dadah di Kuala Terengganu, kelmarin.
Polis negeri ini mencatat kejayaan terbesar apabila merampas sebanyak 6,930 biji pil kuda bernilai RM173,250 setelah menahan dalang sindiket pengedaran dadah itu di pusat bandar ini, kelmarin.
Penahanan suspek berusia 26 tahun itu membawa kepada serbuan di sebuah rumah di Kampung Padang Palas, Kuala Bekah, di sini, yang kemudian menemui dadah berkenaan.
Turut dirampas dalam serbuan pukul 6.15 petang itu, wang tunai RM30,670, dipercayai hasil jualan dadah selain sebuah motosikal Yamaha RXZ.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Negeri Terengganu, Supritendan Roslan Abd. Wahid berkata, rampasan itu yang terbesar membabitkan pil kuda bagi tahun ini.
Menurutnya, suspek yang juga penganggur sebelum itu ditahan ketika memandu dalam keadaan mencurigakan di pusat bandar raya berkenaan.
"Hasil pemeriksaan menemui lima botol serbuk putih yang dipercayai dadah jenis heroin seberat 21 gram bernilai RM5,000 dalam kenderaan itu," katanya pada sidang akhbar di Kuala Terengganu, semalam.
Menurut beliau, suspek dipercayai aktif mengedar dadah-dadah jenis pil WY, pil kuda dan heroin, hampir setahun lalu.
Katanya, suspek direman bermula semalam hingga 12 September ini dan akan didakwa di bawah Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Pihaknya percaya suspek aktif mengedar dadah di Durian Burung, Pulau Rusa, Paloh, Manir, Batu Enam, Kuala Bekah, Sungai Rengas, Pulau Musang dan Bukit Payong.
"Keseluruhan anggota sindiket itu telah dikenal pasti dan usaha untuk menangkap mereka sedang giat dijalankan," katanya.
Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment