Monday, September 19, 2011

Dua Peragut Kena Belasah Suami Mangsa, Orang Ramai

Hari malang bagi dua peragut apabila mereka bukan sahaja gagal melarikan beg seorang wanita, malah cedera akibat dibelasah suami mangsa dan orang ramai di sini, kelmarin.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 12 tengah hari apabila dua suspek berusia 25 dan 30 tahun datang ke kedai runcit di Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) di Kuala Terengganu kelmaein, kononnya untuk membeli rokok.

Namun, ketika sedang berurusan di depan kedai, seorang daripada suspek tiba-tiba merampas beg tangan yang dipegang isteri pemilik kedai itu sebelum melarikan diri.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K. Manoharan berkata, ketika kedua-dua suspek tersebut cuba melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal, beg tangan yang disamun mereka itu bagaimanapun tercicir.

"Ketika kejadian, suami mangsa yang berusia 40 tahun sempat melihat kejadian berkenaan dan terus mengejar suspek itu dengan sebuah kereta sejauh lebih 10 kilometer berdekatan Tok Jiring menyebabkan motosikal dinaiki kedua-dua suspek terbabas.

"Ketika itu juga, beberapa penduduk kampung yang melihat kejadian tersebut membelasah suspek sebelum menyerahkan mereka kepada pihak polis," katanya ketika ditemui kelmarin.

Tambah Manoharan, hasil ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek yang merupakan pekerja resort di sebuah pulau dekat Kuala Terengganu positif mengambil dadah.

Beliau berkata, tangkapan tersebut merupakan kali kedua melibatkan suspek kes samun selepas seorang lagi penyamun diberkas semalam ketika cuba meragut dua beranak.

Beliau memberitahu, suspek tersebut kini ditahan reman selama enam hari bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana menyamun.

No comments:

Post a Comment