"Saya tergamam melihat cucu terapung di dalam telaga di belakang rumah. Suami kemudian segera terjun ke dalam telaga sambil berpaut pada batang paip untuk menyelamatkan cucu. Dia masih bernyawa ketika itu, tetapi meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke klinik."
Rintihan itu disuarakan Zainon Ismail, 67, nenek kanak-kanak berusia 34 bulan yang maut selepas terjatuh ke dalam telaga di Kampung Binjai Manis, Manir, di Kuala Terengganu, kelmarin.
Dalam kejadian jam 11 pagi itu, Mohd Adam Iskandar Mohd Jais, terjatuh ke dalam telaga sedalam enam meter terletak kira-kira 100 meter dari rumah itu.
Kejadian itu bagaimanapun hanya disedari Zainon dan anaknya yang juga ibu mangsa, Zainabon Mamat, 42, sebaik pulang menoreh getah apabila sepupu mangsa, Muhammad Syafiq Syakir Azlan, 18 bulan, menangis teresak-esak sambil menunjukkan kakinya yang berdarah digigit pacat. Zainon bertanyakan Mohd Adam, tetapi Muhammad Syafiq hanya menangis.
Saya mengesyakinya mungkin bermain di belakang rumah. Kami bergegas mencari mangsa dan risau apabila panggilan kami tidak disahut. Zainabon kemudian menyelak rimbunan dedaun di telaga berusia 40 tahun itu dan terkejut melihat anaknya terapung.
Saya tidak sangka telaga yang selama ini menjadi sumber air kami sekeluarga akhirnya meragut nyawa cucu sulung kesayangan, katanya sayu ketika ditemui di rumahnya di Kampung Binjai Manis, di sini, semalam.
Zainon berkata, Mohd Adam Iskandar adalah anak sulung Zainabon dan suaminya, Mohd Jais Muda, 40, selepas lapan tahun mendirikan rumah tangga.
Katanya, cucunya itu menunjukkan perangai pelik apabila enggan makan nasi, selain sering mendesak bapanya sejak beberapa hari lalu untuk membelikannya seluar jeans baru.
Bapanya berjanji membelikannya seluar jeans baru selepas balik menoreh kelmarin, tetapi tidak sangka dia pergi dulu. Kami pasti akan merindui arwah kerana dia petah bercakap, katanya menambah Mohd Adam Iskandar dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Pujuk di kampung itu, semalam.
Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir, Yusof Awang Hitam berkata, pihaknya akan membantu menyediakan bekalan air keluarga itu serta menutup telaga itu bagi mengelak kejadian sama berulang.
Sementara itu di PASIR GUDANG, seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun ditemui mati lemas selepas terjatuh ke dalam longkang besar dan dihanyutkan arus di Jalan Kota Masai 2, dekat sini, semalam.
Abdul Malek Mohd Syahfarri, ditemui orang awam pada jam 4.50 petang selepas operasi mencari dan menyelamat dilakukan bersama anggota Pasukan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam (JPA3) serta polis yang bertindak selepas menerima maklumat kejadian berkenaan.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Roslan Zainuddin, ketika dihubungi berkata, mangsa dikatakan cuba menyeberang longkang besar berhampiran stesen minyak di Jalan Bachang, Kota Masai sebelum tergelincir dan terjatuh dalam kejadian kira-kira jam 2 petang kelmarin.
Berita Harian
No comments:
Post a Comment