Monday, September 19, 2011

Edar dadah: Penganggur berdepan hukuman gantung

Mohd Noor Muda dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Kuala Terengganu semalam selepas didakwa mengedar dadah.

Seorang penganggur berhadapan dengan hukuman mati di tali gantung apabila dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Kuala Terengganu, semalam atas tuduhan mengedar dadah.

Mohd. Noor Muda, 25, didakwa mengedar pil kuda seberat 728 gram di rumahnya di Kampung Padang Palas, Kuala Bekah, di sini kira-kira pukul 6.15 petang pada 6 September lalu.

Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa mengedar dadah jenis heroin seberat 21 gram di perkarangan tempat letak kereta pasaraya Giant di sini pada pukul 2.45 petang hari yang sama.

Atas kedua-dua kesalahan tersebut, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39 B (2) akta yang sama yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Majistret Noradila Ab. Latif kemudian menetapkan 14 November ini sebagai tarikh sebutan semula untuk kes pertama dan 4 Disember depan sebagai sebutan semula bagi kes kedua.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya (DPP), Farah Yasmin Salleh.

Memetik laporan akhbar pada 9 September lalu, sebanyak 6,930 biji pil kuda bernilai RM173,250 ditemui hasil pemeriksaan lanjut pihak polis ke rumah suspek.

Ia susulan daripada penemuan lima botol serbuk putih yang dipercayai dadah jenis heroin bernilai RM5,000 dalam kenderaan yang dinaiki suspek ketika ditahan di perkarangan sebuah pasaraya di sini.

Polis kemudian menyifatkan kes itu sebagai rampasan pil kuda terbesar di Terengganu setakat ini

No comments:

Post a Comment