Monday, September 12, 2011

Hotel Wakaf Maidam Model Berciri Islam

Hotel Wakaf yang masih dalam pembinaan di Jalan Masjid Abidin hanya dijangka siap dan mula beroperasi pertengahan tahun hadapan.

Hotel wakaf pertama di negeri ini yang sedang dibangunkan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) akan dijadikan model hotel berciri Islam.

Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Wan Harujan Sulaiman berkata, ciri-ciri tersebut meliputi pelbagai aspek perkhidmatan dan kemudahan yang disediakan kelak.

Katanya, selain berada dalam persekitaran masjid, reka bentuk dan corak perkhidmatan kakitangannya kelak akan disesuaikan dengan kehendak agama manakala kemudahan seperti kolam renang akan diasingkan antara lelaki dan perempuan serta berbumbung.

"Hotel setinggi tujuh tingkat bernilai RM37.4 juta berhampiran Masjid Abidin di pusat bandar raya ini yang awalnya dijangka siap Oktober ini mungkin hanya akan siap awal tahun depan dan beroperasi sepenuhnya pada pertengahan 2012," ujarnya baru-baru ini.
Beliau berkata, hotel bertaraf tiga bintang itu dengan 180 bilik diharap dapat menampung keperluan dalam industri pelancongan negeri.

"Hotel yang belum diberi nama itu mula dibina pada Mei 2010 bagi mengatasi masalah kekurangan bilik hotel di bandar raya ini di samping menjana pendapatan bagi kegiatan Maidam dan menyediakan peluang pekerjaan," katanya.

Wan Harujan yakin hotel itu akan mendapat sambutan memandangkan kedudukannya dekat dengan masjid, perhentian bas dan Pasar Kedai Payang dan Masjid Abidin yang bersejarah.

Beliau berkata, Maidam memperoleh peruntukan bagi membiayai pembinaan hotel itu dari Jabatan Wakaf dan Haji Malaysia (Jawhar) dalam mempelbagai pendekatan menjana ekonomi tanah wakaf.

Katanya, Maidam bercadang membina tempat letak kereta bertingkat untuk kemudahan penginap kerana kawasan lapang yang agak terbatas dan kemudahan letak kereta agak terdesak di kawasan strategik itu.

Menurut beliau, hotel itu dijangka memberi peluang pekerjaan kepada hampir 100 orang terutama anak-anak yatim dan fakir miskin yang menerima bantuan zakat.

"Sekumpulan anak-anak yatim dan dari keluarga fakir miskin itu kini sedang dilatih di beberapa agensi pelancongan sebelum mereka diterima sebagai tenaga pekerja di hotel itu," katanya.

Sementara itu beliau memberitahu, rancangan membina sebuah lagi hotel wakaf di Kampung Perlima berhampiran Pasar Besar Kedai Payang dan Dataran Shahbandar dijangka menjadi kenyataan pada tahun depan.

"Ia agak memakan masa kerana kerana menunggu kelulusan kerajaan berhubung penyusunan semula lot-lot tanah untuk disatukan meliputi tapak seluas 2,543 meter persegi.

"Projek hotel bajet yang melibatkan penyertaan pemaju swasta itu dianggarkan melibatkan kos RM20 juta dan bakal menyediakan 210 bilik," ujarnya.

Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment