Imbas Kembali...Penduduk kampung cuba menyalakan api daripada gas bawah tanah di Kampung Padang Machang Manir, Kuala Terengganu, baru-baru ini.
Pemilik sebuah telaga tiub yang mengeluarkan gas metana di Kampung Padang Macang, Manir dekat Kuala Terengganu tidak berhasrat menggunakan telaga tersebut sebaliknya akan menggali telaga lain untuk mendapatkan bekalan air tidak lama lagi.
Wan Fatimah Wan Deraman, 59, memberitahu, pun begitu dia tidak akan menutup tiub di telaga yang mengeluarkan gas berkenaan bagi mengelakkan gas tersebut terkumpul dan boleh menyebabkan kebakaran berlaku pada bila-bila masa sahaja.
Katanya, dia dan ahli keluarganya akan menunggu sehingga keadaan kembali seperti sedia kala sebelum menggali telaga lain.
"Biarlah keadaan tenang dulu selepas itu barulah kami gali telaga yang lain.
"Tentang telaga ini kami belum tahu apa yang akan dilakukan tetapi buat masa sekarang saya perlu pastikan api terus menyala bagi memastikan ia tidak terkumpul di bawah kerana bimbang ia boleh menyebabkan kebakaran," katanya ketika ditemui di rumahnya kelmarin.
Beliau ditemui susulan penemuan gas oleh seorang buruh, Musa Omar, 48, Selasa lalu selepas menggali telaga tiub itu pada kedalaman kira-kira 11 meter dari permukaan tanah.
Kejadian itu telah menggemparkan penduduk sekitar kerana ia disifatkan pelik dan merupakan kejadian pertama berlaku di negeri ini.
Dalam pada itu, Jabatan Mineral dan Geosains negeri turut mengesahkan gas tersebut merupakan gas metana yang terhasil daripada pemendapan sisa tumbuhan lama kerana ia merupakan kawasan paya satu ketika dahulu.
Bagaimanapun, gas yang dihasilkan itu bersifat setempat dan jumlahnya tidak banyak dan akan habis dalam masa antara seminggu hingga dua minggu lagi.
Sementara itu, Wan Fatimah ketika menceritakan kejadian itu ujarnya, sebelum ini dia menggunakan air yang dibekalkan oleh Syarikat Bekalan Air Terengganu (Satu) namun ketika sambutan Aidilfitri lalu penggunaannya yang meningkat menyebabkan berlakunya masalah tekanan air.
Jelasnya, oleh sebab itu, dia meminta seorang buruh menggali sebuah telaga bagi memudahkan bekalan air diperolehi.
"Tetapi tidak sangka pula kejadian ini berlaku dan selepas berita ini tersebar rumah saya tidak putus dikunjungi orang ramai seawal pukul 6 pagi hingga tengah malam yang ingin melihat sendiri bagaimana gas tersebut terhasil," katanya.
Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment