Sunday, September 11, 2011

Jangan Terlibat Burukkan Negara – Ahmad Said

Pelajar Terengganu di luar negara yang terbabit dalam politik pembangkang serta demonstrasi menentang kerajaan merupakan pengkhianat negara.

Justeru, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said memberi amaran tegas ke atas mereka agar jangan sekali-kali terbabit dengan kegiatan seumpama itu bagi mengelak dikenakan tindakan.

Beliau menegaskan, pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas ke atas mereka yang terbabit termasuk menyertai perhimpunan anjuran pembangkang di Mesir pada 9 Julai lalu.

Ahmad Said yang kesal dengan pembabitan pelajar itu berkata, mereka sepatutnya menyedari serta mengenang jasa kerajaan yang menyediakan bantuan bagi membolehkan mereka menyambung pengajian di luar negara.

Katanya, kerajaan negeri memperuntukkan kira-kira RM30 juta setahun untuk membangunkan bidang pendidikan di Terengganu termasuk membiayai pengajian pelajar ke luar negara.

“Kerajaan telah mengeluarkan belanja besar untuk menampung kos pengajian mereka di luar negara. Seperti majlis hari ini, kita belanja kira-kira RM4 juta sebagai wang pendahuluan untuk 96 orang pelajar kita ke luar negara.

“Malangnya ada pelajar yang menyertai pembangkang menentang kerajaan di sana. Mereka ini pengkhianat negara dan tiada maaf bagi mereka. Kalau mereka tak mahu belajar, kita agihkan saja pada pelajar lain,” katanya.

Beliau berucap pada majlis meraikan 96 pelajar yang bakal melanjutkan pengajian ke luar negara dan penyerahan wang pendahuluan diri tajaan Yayasan Terengganu (YT) di Seri Iman, Kuala Terengganu, Khamis lalu.

Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment