Kerajaan Negeri kesal dengan kegagalan kontraktor menyiapkan projek pembinaan kilang tepung keledek vitato di Kampung Gong Machang dekat Tembila.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Ashaari Idris berkata, kegagalan kontraktor menyiapkan bangunan itu dalam tempoh sepatutnya telah menyusahkan banyak pihak terutama petani yang terlibat dalam penanam ubi vitato.
Menurutnya, kilang itu adalah projek perintis pertama di Malaysia bertujuan membantu mengkomersialkan ubi vitato menjadi tepung agar pengeluaran vitato dapat diperluas, seterusnya dapat membantu menstabilkan harga ubi vitato.
“Agensi berkenaan terpaksa mengambil langkah membatalkan projek kepada kontraktor terbabit berikutan kegagalan menyiapkan bangunan itu walaupun peluang sudah diberi.
“Demi kepentingan rakyat, saya berharap pihak berkaitan dapat membuka tawaran tender segera dan projek diberikan kepada kontraktor yang lebih berwibawa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kerandang di Besut.
Hadir sama Adun Jabi, Ramlan Ali; Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) negeri, Shamsuddin Mat Rani; Pengerusi PPK Kerandang, Datuk Abd Halim Awang Pengarah Lembaga Kemajuan Pertanian Terengganu Utara (Ketara), Mohamed Kaberi Ghani dan Pengurus Besar PPK, Wan Amin Wan Abdul Rahman.
Ashaari berkata, pembinaan kilang itu perlu disegerakan bagi memastikan petani tidak mengalami masalah untuk memasarkan produk mereka.
Sementara itu menurut Mohamed Kaberi, projek di bawah Ketara itu diambil-alih oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) termasuk urusan pelantikan kontraktor penyelamat.
“Kilang bernilai RM4.8 juta itu pada asalnya dijadualkan siap Disember tahun lepas dan dilanjutkan sehingga April lalu, namun kontraktor hanya mampu menyiapkan kira-kira 37 peratus bangunan kilang tepung tersebut sahaja,” katanya.
Sinar Harian
No comments:
Post a Comment