Nurusyahamah Taqiah Nurunnajmi menunjukkan sijil penyertaan tilawah di Qatar kepada Idris Jusoh (kanan) yang mengunjunginya di Kampung Alor Keladi, Besut, Terengganu, kelmarin.
"Saya berazam untuk menebus kembali kekecewaan saya dan mahu mendapat tempat pertama," kata Nurusyahamah Taqiah Nurunnajmi yang muncul tempat ketiga Tilawah Al-Quran Kanak-Kanak Peringkat Antarabangsa di Doha, Qatar bulan lalu.
Pelajar berusia 12 tahun ini berkata kesihatannya tidak mengizinkan untuk menjuarai pertandingan kerana diserang selesema di saat akhir hendak bertanding.
"Saya tak tahan di tempat sejuk. Apatah lagi terpaksa menunggu hampir lima jam dalam kesejukan di Dewan Kebudayaan Qatar sebelum tiba giliran saya membaca," katanya ketika ditemui di majlis kesyukuran di rumahnya di Kampung Alor Keladi, Jerteh dekat kelmarin.
Murid Sekolah Kebangsaan Lubok Kawah ini menerima hadiah wang berjumlah 50,000 rial Qatar (RM39,800) pada tilawah peringkat akhir pada 26 Ogos lalu.
Dengan menduduki tempat ketiga, Nurusyahamah dipilih oleh pihak penganjur Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Islam Qatar untuk menyertai tilawah itu tahun depan.
Sementara itu dia turut dijadikan sebagai Ikon Muda Besut oleh Umno bahagian Besut.
No comments:
Post a Comment