Monday, September 5, 2011
Piala Monsun: Pulau Duyung Tak Bimbang Saingan Korea Selatan
Penganjur perlumbaan kapal layar Piala Monsun Pulau Duyung, Terengganu, tidak bimbang dengan saingan daripada penganjur perlumbaan yang sama di Gyeonggi, Korea Selatan, dalam merebut Anugerah Acara Keseluruhan Terbaik Liga Perlumbaan Dunia ISAF.
Pengerusi Piala Monsun Tan Sri Sabbarudin Chik berkata apa yang penting ialah melakukan yang terbaik dalam memastikan kelancaran pertandingan tersebut, yang kini menjadi satu acara wajib dalam kalendar sukan negara.
"Kita sedar orang Korea dalam apa-apa bidang pun mereka akan kerja kuat walaupun hakikatnya mereka datang ke sini untuk melihat bagaimana kita melakukannya (menganjurkan Piala Monsun).
"Kita tak bimbang orang lain nak buat lebih baik, yang penting kita buat yang terbaik," katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas usaha penganjur perlumbaan kapal layar Piala Korea Selatan yang dilaporkan berusaha keras untuk meraih gelaran acara terbaik liga ISAF, yang setakat ini telah tiga kali dimenangi Piala Monsun di Malaysia.
Sabbarudin berkata pihaknya akan mencari jalan untuk menarik lebih ramai penonton tempatan khususnya komuniti peminat kapal layar untuk menyaksikan perlumbaan tersebut.
Ini berikutan teguran Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang kurang berpuas hati dengan sambutan hambar penonton pada hari terakhir temasya tersebut.
"Sebenarnya ini terjadi kerana tidak ramai orang memahami bagaimana sesuatu perlumbaan kapal layar berlangsung kerana tidak ramai yang memiliki kapal layar," katanya.
Piala Monsun tahun ini, dari 22-27 Nov, bakal menyaksikan 10 kumpulan berentap termasuk lapan kumpulan yang menduduki tangga teratas liga WMRT, satu kumpulan dari Asia (wildcard) dan satu mewakili Malaysia.
No comments:
Post a Comment