Wednesday, September 21, 2011

PAS Ramal Pilihan Raya Umum 11 November

Pas menjangka Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) akan berlangsung pada 11 November tahun ini, lebih awal berbanding jangkaan yang dilaporkan Sinar Harian, semalam.

Pesuruhjaya Pas Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut berkata, Pas meletakkan tarikh tersebut sebagai tarikh pilihan raya bagi mengelakkan jentera parti ‘terkejut’ sekiranya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan tarikh pilihan raya lebih awal.

Abdul Wahid berkata, pihaknya juga tidak perlu bimbang dengan tarikh sebenar pilihan raya sekiranya ia lewat daripada yang dijangkakan kerana segala persiapan telah pun dilakukan.

“Kita memang ‘set’ tarikh tersebut sejak dua tahun lalu kerana jika tarikh diumumkan pada saat kecemasan, kita tidak akan terkejut sebaliknya bersedia menghadapinya,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi, di Kuala Terengganu, kelmarin .

Beliau berkata, tarikh tersebut relevan kerana ia berkemungkinan diadakan selepas pembentangan bajet pada Oktober depan yang dianggap bajet pilihan raya untuk menjaga hati rakyat.

“Parlimen bersidang pada 3 Oktober dan bajet dibentang pada 7 Oktober. Pilihan raya berkemungkinan besar diadakan selepas pembentangan bajet yang mungkin akan membentangkan perkara untuk menjaga hati rakyat,” katanya.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu itu ketika ditanya berhubung ramalan yang jatuh pada angka ‘11’ tidak menolak angka itu digemari pemimpin tersebut.

Laporan Sinar Harian melaporkan berkemungkinan tarikh pilihan raya jatuh pada 11 Februari 2012 dan Najib selepas ditemu ramah sebuah stesen radio sebelum ini berkata, beliau amat menyukai nombor 11 kerana nombor tersebut amat dekat dengan dirinya.

Mengulas lanjut, Abdul Wahid yang juga Adun Wakaf Mempelam berkata, pilihan raya juga tidak mustahil diadakan Februari tahun depan kerana banyak pihak memberi tumpuan pada bulan itu.

Sinar Harian

No comments:

Post a Comment