Tuesday, September 13, 2011

Pesta Gong Antarabangsa 2011 Bakal Menyaksikan Penyertaan Terengganu, Brunei, Indonesia

Pesta Gong Antarabangsa 2011 yang akan diadakan di Pusat Redeems, Kampung Apar dekat sini dari 18 hingga 20 Nov ini bakal menyaksikan penyertaan kumpulan antarabangsa dari Brunei dan Indonesia selain tuan rumah Sarawak, Sabah, Negeri Sembilan dan Terengganu.

Pemangku pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Sarawak Saini Lihi berkata pesta tersebut, anjuran JKKN Sarawak dengan kerjasama Kementerian Pelancongan Malaysia, dapat menjadi platform kepada tokoh serta penggiat muzik tempatan dan antarabangsa bagi mewujudkan interaksi jaringan antarabangsa.

"Dengan adanya penyertaan kumpulan tempatan, seperti pembuat gong Iban daerah Pakan di Sri Aman dan kumpulan muzik Pusat Redeems sendiri, saya yakin hubungan di antara Malaysia dengan negara Asean melalui wadah kebudayaan, kesenian dan warisan akan diperkukuhkan lagi," katanya kepada Bernama selepas mempengerusikan mesyuarat Pesta Gong Antarabangsa di Kuching semalam.

Saini berkata usaha mendokumentasikan pesta itu, yang merupakan aktiviti dalam kalendar pelancongan kebangsaan, boleh menjadi bahan rujukan dan sumber ilmu kepada masyarakat serta generasi akan datang serta menggalakkan usaha penyelidikan dan pembangunan dan penerbitan.

Selain persembahan kesenian, beliau berkata pameran pelbagai jabatan dan agensi, termasuk kesenian gong, kraftangan dan demonstrasi pembuatan gong, alat muzik, batik dan anyaman serta jualan kraftangan dan makanan tempatan dan bengkel praktikal akan turut diadakan.

Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud dijangka merasmikan pesta berkenaan pada 19 Nov.

No comments:

Post a Comment