Tun Dr Mahathir Mohamed menasihatkan Datuk Seri Najib Razak, melewatkan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13) dan merasakan Perdana Menteri sewajarnya menggunakan masa yang ada untuk meneliti calon terbaik untuk mewakili Barisan Nasional (BN).
Bekas perdana menteri mendakwa, ketua bahagian parti komponen BN sedang bertelingkah, untuk menjadi calon pilihan raya.
“Saya merasakan bahawa jika ia diadakan lewat sedikit, :OK:. Perlu ada masa bagi Najib untuk membuat penilaian siapa yang harus dipilih sebagai calon,” katanya.
Menurutnya, pendekatan ‘calon boleh menang’ kemungkinan boleh mencetuskan masalah bagi perikatan itu kerana ia boleh menyebabkan lebih banyak perpecahan antara pemimpin parti yang hendak bertanding.
“Menjadi amalan biasa bagi seseorang yang tidak dipilih sebagai calon untuk bertindak membuktikan bahawa calon yang dipilih adalah tidak layak,” katanya.
“Masalah ini sukar untuk diatasi. Ia masih menjadi satu masalah,” katanya.
Dr Mahathir berkata, Najib sebagai pengerusi BN seharusnya menjelaskan kepada parti komponen bahawa sokongan tidak bersyarat kepada calon yang dipilih adalah penting meskipun mereka secara peribadi tidak menyokong calon yang dipilih.
“Najib seharusnya bertindak untuk menjelaskan mengenai calon berpotensi, jika mereka tidak memberi sokongan kepada calon yang dipilih, mereka juga akan berhadapan dengan masalah,” katanya.
Pentadbiran Najib berhadapan dengan tahun yang sukar selain terpaksa berhadapan kecaman berhubung cara pihaknya menangani perhimpunan Bersih 2.0 Julai lalu.
PRU 13 dijangka akan diadakan dalam waktu terdekat ini.
Mandat semasa Kerajaan Pusat hanya akan berakhir April 2013.
Sinar Harian
No comments:
Post a Comment