Pemain Selangor, Mohd. Amri Yahyah melakukan tandukan ke gawang Kuala Lumpur pada perlawanan Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, semalam.
T-Team muncul juara Kumpulan D dengan 13 mata selepas membelasah Polis Diraja Malaysia (PDRM) 6-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi dengan Selangor di tangga kedua dengan 10 mata selepas mengalahkan Kuala Lumpur 2-1.
Enam gol T-Team dijaringkan oleh Indra Putra Mahayuddin (gambar kiri) pada minit ke-17, Zairo Anuar Zailani (minit ke-38), Norfarhan Mohammad (minit ke-52), Mohd Badrul Hasani Abdul Rahman (minit ke-78), Norfazly Alias (minit ke-81)dan Shamsul Kamal Mohamad (minit ke-87).
Dengan kemenangan tersebut, T-Team, Selangor dan Sabah mengiringi Perak, Negeri Sembilan, Terengganu, Kelantan, Felda United layak ke suku akhir.
Pada satu lagi perlawanan yang turut disaksikan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said, Terengganu yang beraksi dalam kumpulan B terikat tanpa jaringan dengan Negeri Sembilan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.
Ini bermakna Terengganu adalah naib juara kumpulan dan membolehkan Negeri Sembilan menjadi juara.
Perlawanan tersebut terpaksa dihentikan selama 40 minit kerana hujan ribut.
Perlawanan suku akhir pada 4 Okt ini, menyaksikan Selangor menentang Perak, Felda United bertemu Negeri Sembilan, Terengganu bertemu Kelantan dan Sabah berdepan dengan pasukan kelab T-Team.
Biarpun memilih jalan sukar, Selangor akhirnya berjaya juga layak ke suku akhir di Stadium Shah Alam, malam tadi - sekali gus menghidupkan semula Misi 33.
Bagi skuad Warga Kota, ia pasti satu kekecewaan terbesar selepas mereka menduduki tangga teratas Kumpulan D sehingga perlawanan keempat sebelum akhirnya dipintas T-Team dan Selangor.Kuala Lumpur di tangga ketiga, 7 mata dan Polis keempat, 1 mata.
Misi ke-33 Selangor kembali bersinar apabila pasukan yang terkenal dengan jolokan 'The Red Giant' itu mengalahkan Kuala Lumpur 2-1 dalam percaturan akhir kumpulan D di Stadium Shah Alam.
Pasukan pelawat terlebih dahulu membuka jaringan hasil tandukan ketua pasukan Kuala Lumpur, Muhammad Shahrom Abdul Kalam pada minit ke-37, namun keadaan kucar kacir di hadapan gawang gol Kuala Lumpur membuka peluang kepada Mohd Razman Roslan menjaringkan gol penyamaan Selangor pada minit ke-66.
Gol kemenangan Selangor diperolehi menerusi tandukan kapten, Mohd Amri Yahyah pada minit ke-76.
Sementara itu, Sabah yang beraksi dalam kumpulan A turut mara ke pusingan suku akhir setelah berjaya mengalahkan Johor 4-1 di Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos, Larkin.
Empat gol Sabah dijaringkan oleh Razlan Oto pada minit ke-31, Mohd Rozaimi Abdul Rahman (minit ke-60), Radzi Mohd Hussin (minit ke-66) dan Mohd Farid Ideris (minit ke-81).
Manakala gol saguhati Johor disumbangkan oleh Mohd Fedzuan Nawi pada minit ke-53.
Dalam satu saingan kumpulan A, impian Kedah untuk melangkah ke suku akhir ranap setelah seri 1-1 kepada Perak di Stadium Darul Aman, Alor Setar.
Gol Kedah hadir seawal minit keenam hasil jaringan Mohd Faizal Abu Bakar, manakala Perak dapat meyamaakan kedudukan 1-1 menerusi jaringan Mohd Shafiq Jamal pada minit ke-52.
Dalam saingan kumpulan C pula, Kelantan muncul juara kumpulan apabila mengatasi Felda United 2-0 di Stadium Sultan Muhammad ke-4, Kota Baharu menerusi Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-62 dan ke-71.
Johor FC yang turut beraksi dalam Kumpulan C pula menumpaskan Sarawak 3-1 di Stadium Majlis Pembandaran Pasir Gudang.
Gol Johor FC dihasilkan oleh Mohd Akmal Mohd Noor (minit ke-8 dan 75) dan Mohd Riduwan Maon pada minit ke-43, manakala gol saguhati Sarawak diperolehi menerusi jaringan Bobby Gonzales pada minit ke-55.
Dalam saingan kumpulan B pula, Fauzan Dzulifli menghasilkan gol tunggal pada minit ke-75 untuk membantu Selangor PKNS jaya menang tipis 1-0 kepada Sime Darby di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS).
No comments:
Post a Comment