Wednesday, September 28, 2011

Polis Terengganu Buru Lelaki Ancam Timbalan Pendakwa Raya

Polis Terengganu sedang memburu suspek yang mengacukan pistol ke atas seorang Timbalan Pendakwa Raya dalam insiden Ahad lalu di lampu isyarat Jalan Sultan Ismail di sini.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Jamshah Mustapa, berkata pihaknya yakin dapat menangkap suspek dalam masa terdekat dan seterusnya mengetahui apakah motif sebenar suspek bertindak demikian.

"Suspek yang disyaki adalah seorang lelaki Melayu warga tempatan, berusia dalam lingkungan 50-an dan berkulit sawo matang," katanya pada sidang media di Kuala Terengganu, semalam.

Dalam kejadian Ahad lalu, Timbalan Pendakwa Raya, Zalina Awang, 39, diacu pistol oleh individu yang tidak dikenali ketika berhenti di lampu isyarat Jalan Sultan Ismail Kuala Terengganu.

Bagaimanapun, suspek menghilangkan diri apabila mangsa memberhentikan keretanya di hadapan Stesen Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu.

"Pihak kami percaya suspek melakukan ugutan itu untuk memberi amaran kepada mangsa akibat tidak berpuas hati dengan mangsa, kerana mangsa mengendalikan beberapa kes berprofil tinggi membabitkan hukuman gantung sampai mati," katanya.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.
Orang ramai yang melihat atau berada di tempat kejadian diminta menghubungi polis di talian 09-6322222 atau menghubungi pegawai penyiasat kes ASP Abdul Malik Mehat di talian 019-4135595 bagi membantu siasatan. -

No comments:

Post a Comment