Tuesday, September 6, 2011

Piala Malaysia - Terengganu, Selangor Pencabar Kuat Kelantan?

Terengganu dan PBDKT T-Team mencatatkan keputusan seri 2-2 dalam perlawanan persahabatan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu akhir bulan Ogos lalu. Kedua-duanya bersiap sedia menempuh cabaran mulai malam ini.

Pertanyaan mengenai Piala Malaysia yang bermula malam ini ialah, siapa mampu cabar Kelantan?

Di atas kertas jelas Terengganu dan Selangor. Tetapi jangan perlekeh Negeri Sembilan dan Kedah.

Yang pasti ditunggu sudah tiba dan hari ini, 16 pasukan akan turun ke gelanggang untuk memburu satu trofi yang dilabel antara tertua di Asia iaitu Piala Malaysia.

Pada firasat jurulatih kebangsaan, Datuk K Rajagobal dia melihat empat pasukan - Kelantan, Selangor, Terengganu dan Kedah - memiliki segala ramuan mengejar pengiktirafan itu tapi tidak menolak kemungkinan skuad kerdil mampu membuat kejutan dalam kejohanan yang sentiasa memiliki unsur tradisi dan klasik.

Keempat-empat pasukan yang dinilai Rajagobal itu akan beraksi di gelanggang lawan dan perwatakan mereka bakal diuji, malam ini sama ada menepati ciri-ciri selaku juara dalam pembikinan, musim ini.

Rajagobal turut menjangkakan saingan Piala Malaysia kali ini lebih meriah dibantu dengan keghairahan peminat yang kembali teruja dengan kebangkitan skuad kebangsaan dan skuad Olimpik serta masih ‘panas’ dengan kehadiran tiga kelab Liga Perdana Inggeris, Arsenal, Liverpool dan Chelsea Julai lalu.

Amat jelas kini, juara Liga Super musim ini, Kelantan awal-awal lagi dianggap sebagai pilihan utama yang akan menakluk trofi Piala Malaysia sekali gus mempertahankan kejuaraan dimenangi tahun lalu jika keseimbangan pasukan dan pengalaman menjadi ukuran.

Diletakkan sekumpulan bersama Johor FC, Felda United dan Sarawak dalam Kumpulan C, Kelantan berada satu kelas tersendiri berbanding ketiga-tiga pasukan tersebut dan tiket selaku juara kumpulan sudah pasti dimiliki Red Warriors sekali gus mengelak pertembungan awal dengan Terengganu di peringkat suku akhir jika skuad Peteh itu juga berjaya meletakkan diri sebagai juara Kumpulan B.

Biarpun kekuatan Kelantan sedikit terjejas tanpa kehadiran penjaga gol sensasi, Khairul Fahmi Che Mat yang menabur bakti untuk negara di pusingan akhir kelayakan Sukan Olimpik 2012, pengalaman penjaga gol kedua, Mohd. Shahrizan Ismail masih boleh disandarkan.

Ternyata sudah bersedia sepenuhnya untuk mengatasi cabaran sebarang pasukan bagi memastikan usaha mempertahankan Piala Malaysia musim ini terlaksana.

Laungan keyakinan itu disuarakan kapten Red Warriors, Mohd Badri Radzi yang akan membimbing rakan sepasukan menentang Sarawak di Stadium Negeri di Kuching dalam perlawanan pembukaan Kumpulan C malam ini.

Malah perancang tengah berusia 29 tahun itu menegaskan apa yang penting semua pemain mahu memberikan aksi terbaik dalam perlawanan pertama malam ini. Malah aksi menentang Sarawak dilihat menarik kerana Kelantan tidak mengetahui kekuatan sebenar mereka yang beraksi di Liga Perdana.

“Walaupun berkeyakinan tinggi, saya turut mengingatkan kepada rakan sepasukan yang lain agar sentiasa berwaspada kerana kami mahu meraih sesuatu yang positif dalam perlawanan pertama dan bukan sebaliknya,” katanya yang sudah meraih Liga Super dan Piala Sultan Ahmad Shah selain naib juara Piala FA musim ini.

Selain ketiadaan Khairul Fahmi, skuad kendalian Datuk M Karathu itu juga tidak dapat menggunakan pemain pertahanan kirinya, Zairul Fitree Ishak dan penyerang pinjamannya dari Pahang, R. Surendran kerana kecederaan selain kedudukan yang masih belum pasti penyerang utamanya, Norshahrul Idlan Talaha yang dikatakan mengalami cirit birit.

Karathu bagaimanapun masih mempunyai banyak pilihan di jentera serangan termasuk Mohd Ramzul Zahini Adenan, Mohd Nizab Ayub selain mengharapkan ketajaman Azamuddin Mohd Akil yang semakin berbisa.

Berdasarkan reputasi hebat Kelantan musim ini termasuk dalam beberapa aksi persahabatan bulan lalu, The Red Warriors menjadi pilihan muncul juara kumpulan dengan perebutan satu lagi tiket ke suku akhir terarah kepada dua pasukan kelab, Johor FC dan Felda United.

Kumpulan A mungkin memperlihatkan persaingan seimbang antara Kedah, Perak dan Sabah sementara Johor, wakil dari Liga Perdana dilihat sukar menyaingi kekuatan yang ada pada ketiga-tiga pasukan berkenaan.

Biarpun Kedah menjadi pilihan pertama dalam Kumpulan A, kemampuan Perak dan Sabah tidak harus dipertikaikan memandangkan kedua-dua pasukan itu mempunyai rekod baik tiap kali beraksi di laman sendiri.

Negeri Sembilan mungkin menjadi penghalang terbesar juara Piala FA, Terengganu yang berazam mahu menjadi juara Kumpulan B manakala PKNS selaku juara Liga Perdana dan Sime Darby mampu bertindak selaku pasukan kacau daun.

Terengganu pasti sedikit bimbang jika apa yang diperkatakan jurulatih skuad Rusa, Mohd. Azraai Khor Abdullah bahawa pasukan Negeri Sembilan yang bersaing di Piala Malaysia adalah sebuah pasukan yang berbeza daripada Liga Super.

''Masa saingan Liga Super, kami berdepan banyak masalah kecederaan pemain tetapi bagi menghadapi Piala Malaysia, semua pemain utama pulih daripada kecederaan termasuk Zaquan Adha Abdul Razak, Aidil Zafuan dan Ahmad Fakri Saarani.

Lebih meyakinkan Negeri Sembilan ialah, selepas aksi kurang memberangsangkan sebelum ini, bekas penyerang kebangsaan, Hairuddin Omar sedia menjadi pencetus kebangkitan Negeri Sembilan apabila pasukan itu menentang Selangor PKNS, dalam aksi pembuka tirai saingan Piala Malaysia, di Stadium Petaling Jaya, malam ini.

Pemain berpengalaman berusia 32 tahun itu mengakui dia kini amat dahagakan jaringan gol selepas gagal menyerlah pada aksi saingan Liga Super dan Piala FA lalu,berikutan masalah kecederaan dialaminya.

Bersemangat mahu memburu kejuaraan Piala Malaysia kali ke-33, Selangor yang masih ketandusan sebarang trofi pada musim ini bakal dicabar hebat T-Team dalam Kumpulan D di samping kehadiran jiran Lembah Klang, Kuala Lumpur yang mahu mengulangi memori muncul juara tiga tahun berturut-turut dari 1987 hingga 1989 dan pasukan underdog, PDRM.

Masalah ketiadaan penjaga gol berwibawa selepas penghijrahan Mohd. Hamsani Ahmad ke Felda United dan penggempur terhebat Harimau Malaya, Safee Sali mungkin menjadi batu penghalang kepada cita-cita Selangor yang mahu menamatkan kemarau enam tahun kegagalan menjulang Piala Malaysia.

Namun, bekas pemain tengah Telekom Melaka, Mohd Hardi Jaafar yang masih belum memikirkan mengenai pasukan barunya musim depan kini memberikan tumpuan sepenuhnya mahu menjulang Piala Malaysia bersama Selangor.

Mewakili Merah Kuning sejak 2009, dia nyata mahu menghadiahkan piala berprestij terbabit kepada semua penyokong pasukan serta pengurusan bagi menutup kehampaan kehilangan piala teragung bola sepak negara itu sejak 2005.

Padanya tiada yang mustahil dilakukan terutama untuk memenuhi hasrat berkenaan. Tambahan pula ini adalah masa yang tepat berikutan skuad berkenaan dilihat amat mantap dalam semua sudut menerusi kendalian jurulatih, K Devan.

Apapun, Kelantan, Terengganu dan Selangor boleh dinamakan sebagai pencabar terkuat kepada Kelantan yang berusaha mahu mempertahankan Piala Malaysia yang dimenangi tahun lalu, namun beberapa pasukan lain seperti Negeri Sembilan, Kedah, Perak dan T-Team mempunyai ramuan untuk melakukan kejutan.

Sumber - Berita Harian, Harian Metro& Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment