Tuesday, September 6, 2011
UNiSZA Mahu Lahirkan Pemimpin Bersifat Glokal, Berfikiran Global
Universiti Sultan Zainal Abidin (UNiSZA) Terengganu mempunyai visi untuk melahirkan kepimpinan yang bersifat glokal, berakar umbikan budaya setempat tapi berfikiran global melangkaui bahasa, bangsa dan budaya.
Naib Canselornya, Datuk Prof. Dr. Alias Daud berkata, UNiSZA turut berhasrat melahirkan modal insan yang boleh diharap untuk mengambil alih tanggungjawab pentadbiran dan pemerintahan pada masa hadapan.
“Mahasiswa ibarat berlian, meskipun tinggi nilainya namun berlian tidak akan bergemerlapan jika tidak digilap dan tanggungjawab untuk mengilapnya terletak kepada pelajar sendiri,” katanya di majlis Minggu Mesra Siswa Kampus Gong Badak, kelmarin.
Majlis berkenaan di rasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said. Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Abdul Manaf Ali dan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni,Nordin Jusoh.
Katanya, sesi kali ini (2011) UNiSZA berjaya menempatkan 1,040 pelajar baru daripada 14,123 permohonan yang diterima dan paling ramai datang dari Kelantan, Terengganu dan Selangor.
“Gunakanlah segala ruang dan kebebasan yang diberi untuk memajukan diri serta sentiasa akur dan patuh segala peraturan yang ada demi kebaikan semua,” katanya.
Minggu Mesra Siswa berlangsung lima hari bermula semalam dipenuhi beberapa aktiviti termasuk pendaftaran pelajar baru (kemasukan ijazah) sessi 2011-2012 serta taklimat bersama pengurusan akademik.
Turut diadakan program bicara bersama tokoh, ceramah kenegaraan, ceramah Jabatan Kebajikan Islam Malaysia (Jakim), Pelan Intergriti Nasional (PIN) dan taklimat bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM).
No comments:
Post a Comment