Wednesday, September 14, 2011

PMINT Rancang Bina 13,000 Unit Rumah Babitkan RM800j

Kerajaan negeri Terengganu melalui Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) merancang untuk membina 13,000 unit rumah pelbagai kategori menjelang tahun 2013 melibatkan kos RM800 juta.

Sebanyak 16 projek perumahan lagi melibatkan 1,800 unit turut dalam perancangan di seluruh negeri itu.

Pecahan rumah-rumah yang sedang dibina itu ialah 1,846 unit di daerah Kuala Terengganu, Kemaman (1,471 unit), Besut (144 unit), Setiu (133 unit sudah siap), Marang (383 unit), Dungun (890 unit) dan Hulu Terengganu (626 unit).

Rumah-rumah yang dibina itu mempunyai keluasan melebihi 800 kaki persegi bagi keselesaan penghuni.

PMINT juga sedang merancang untuk membina penempatan baru di Taman Tamadun Islam (TTI) dengan membina rumah-rumah pelbagai kos bagi menghidupkan lagi suasana di situ.

Kerja-kerja penambakan tanah sedang berjalan dan pembinaan dijangka akan dimulakan tidak lama lagi.

Pengurus Besar PMINT Datuk Osman Muda berkata sejak PMINT dilantik menyelia projek perumahan kos rendah dan mampu milik di negeri itu pada 2009, ia telah menyelaras sebanyak 17 projek di seluruh negeri itu.

"Sehingga Disember tahun lepas, rumah-rumah yang kita bina di seluruh daerah itu merangkumi rumah mampu milik dan perumahan rumah awam kos rendah (RAKR) melibatkan 5,473 unit dengan kos keseluruhan RM458,420,309.

"Kita cuma sempat menyiapkan 133 unit RAKR untuk daerah Setiu saja sehingga ini manakala bagi daerah-daerah lain ia dijangka siap akhir tahun ini atau awal tahun hadapan," katanya.

Beliau menyatakannya kepada pemberita pada majlis Hari Raya PMINT di Kuala Terengganu, kelmarin.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said.

No comments:

Post a Comment