Seorang lelaki bukan sahaja melakukan jenayah rogol terhadap remaja lembam, malah turut mengugut mahu menyembelihnya jika mangsa membocorkan kejadian itu.
Lelaki itu sanggup menjadikan anak birasnya yang juga seorang remaja orang kurang upaya (OKU) kategori lembam sebagai ‘alat’ pemuas nafsu dengan merogol mangsa dalam satu kejadian pada 21 Ogos lalu.
Berikutan itu bapa lima anak itu dihukum penjara 14 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Terengganu, kelmarin selepas didapati bersalah dengan kesalahan itu pada 21 Ogos lalu.
Hakim, Wan Fadhilah Nor Wan Idris menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh yang bekerja sebagai pengait buah kelapa sawit selepas mengaku bersalah melakukan perbuatan terkutuk itu terhadap mangsa yang turut mempunyai ikatan kekeluargaan dengannya.
Terdahulu, tertuduh dalam rayuannya memohon mahkamah meringankan hukuman atas alasan dia mempunyai anak yang ramai selain mengaku insaf atas perbuatannya.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa merogol mangsa berusia 13 tahun satu bulan di bangsal kebun limau pada jam 4 petang.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 376(2)(d) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 30 tahun dan dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.
Tertuduh, 33, dari Felda Bukit Bading, Ajil, Hulu Terengganu mengaku bersalah melakukan kesalahan itu pada 21 Ogos lalu kira-kira jam 4 petang di bangsal kebun limau, Kampung Peroh, Ajil, Hulu Terengganu.
Dengan itu, tertuduh didapati telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 30 tahun serta sebatan jika disabitkan kesalahan.
Pada 24 Ogos lalu kira-kira jam 5.30 petang, ibu mangsa yang ketika itu berada di rumah di Jalan Pasir Akar, Kampung Gong Duek, Jertih, Besut telah menerima panggilan telefon daripada adik perempuannya memberitahu anaknya disyaki dirogol.
Ini sebab, mangsa dilihat sentiasa memegang kemaluannya dan sering mengadu sakit di bahagian itu, tetapi apabila ditanya, mangsa enggan menceritakan hal sebenar dan hanya mendiamkan diri.
Selain itu, adiknya turut mengesyaki mangsa dirogol selepas mendapati kemaluan mangsa mengalami bengkak dan merah ketika mandi bersamanya.
Lalu, bimbang perkara buruk mungkin berlaku terhadap anak saudaranya itu, kakaknya disuruh segera pulang ke rumah mereka di Felda Jerangau Barat, Ajil untuk menyoal mangsa sendiri.
Keesokan harinya iaitu 25 Ogos lalu kira-kira jam 8 malam, ibu mangsa telah pulang dan terus menyoal mangsa.
Setelah dipujuk, mangsa memberitahu dia telah dirogol oleh tertuduh, iaitu adik ipar bekas suaminya di bangsal kebun limau di kampung Peroh, Ajil, Hulu Terengganu selepas membawa dia bersiar-siar.
Bukan itu sahaja, selepas melakukan perbuatan terkutuk itu, tertuduh turut mengugut akan menyembelih mangsa jika memberitahu perkara itu kepada orang lain.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Masriwani Mahmud manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
No comments:
Post a Comment