Tuesday, September 27, 2011

Piala Malaysia - Harapan Ahmad Said Semakin Hampir

Menteri Besar menyaksikan perlawanan T'Team menentang Selangor di Kuala Terengganu baru-baru ini.

Pada ketika Selangor sedang menunggu sama ada terus ‘hidup’ atau tercicir pada saingan Piala Malaysia kali ini, Terengganu dan T’Team menghitung nasib sama ada mampu menjadi juara kumpulan atau sebaliknya.

Harapan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said untuk melihat pasukan Terengganu dan T’Team mara hingga ke separuh akhir Piala Malaysia semakin membawa harapan.

T’Team dan Terengganu menang pada saingan malam Sabtu lalu dan perlu menang untuk menjuarai kumpulan masing-masing mala mini.

Bagi Selangor, di atas kertas tiada masalah untuknya menewaskan skuad ibu kota, Kuala Lumpur pada perlawanan terakhir Kumpulan D bagi mengisi slot suku akhir Piala Malaysia.

Namun, peneraju baru Red Giants, P Maniam enggan mendabik dada bagi menghadapi perlawanan getir di Stadium Shah Alam, kerana menyedari Selangor amat memerlukan kemenangan.

Apa yang mencemaskan, jika seri hari ini, ia membuka laluan buat Kuala Lumpur ke suku akhir. Maniam mengakui, skuad bimbingan Razip Ismail, Kuala Lumpur bukan pasukan yang mudah untuk dikalahkan.

"Kuala Lumpur memiliki barisan pemain yang bagus. Begitupun saya yakin selepas kami mencatat kemenangan selesa 4-1 ke atas Polis Diraja Malaysia (PDRM), semalam (kelmarin), keyakinan para pemain berada pada tahap tertinggi," katanya ketika semalam.

Bagi Terengganu dan T’Team, kedua-duanya layak bersama empat yang lain - Kelantan, Perak, Negeri Sembilan dan FELDA United ke suku akhir Piala Malaysia selepas perlawanan malam Sabtu lalu.

Sementara dua lagi slot masih menjadi rebutan empat pasukan - Kedah, Sabah, Kuala Lumpur dan Selangor yang akan ditentukan melalui perlawanan keenam, malam ini.

T-Team biarpun belum sah sebagai juara kumpulan, sudah pun layak ke suku akhir dengan keputusan seri 1-1 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu apabila jaringan Indra Putra Mahayuddin (28) disamakan penyerang Kuala Lumpur, Ahmad Hazwan Bakri (46).

Bagi saingan Kumpulan D ini, Selangor kembali menghidupkan Misi 33 apabila mudah menewaskan Polis 4-1 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi hasil jaringan Amri Yahyah (31), Safiq Rahim (44), Amirulhadi Zainal (71) dan Rudie Ramli (89). Polis membalas menerusi Fauzi Abd Majid (62).

Selangor kini dengan tujuh mata wajib menewaskan Kuala Lumpur di Stadium Shah Alam, malam ini jika berhajat mengiringi T-Team ke suku akhir.

Kumpulan B menyaksikan Terengganu dan Negeri Sembilan mara ke suku akhir selepas masing-masing menundukkan Sime Darby 2-1 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang dan PKNS 1-0 di Stadium Petaling Jaya, Kelana Jaya.

Kedua-dua pasukan kini berkongsi 12 mata dan pertemuan terakhir membabitkan Terengganu dan Negeri Sembilan di Kuala Terengganu, Selasa ini bakal menentukan siapa bergelar juara kumpulan.

Pertemuan kedua-duanya dikatakan akan menentukan siapa akan bertemu Perak yang menjadi juara Kumpulan A dengan 13 mata selepas menewaskan Johor 2-1 di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin, hasil jaringan Isma Aliff minit ke-38 dan Failee Ghazali (90) manakala gol tunggal Johor dijaringkan Ashadi Yusof pada masa kecederaan.

Sementara satu lagi pasukan dalam kumpulan yang sama iaitu Kedah menghidupkan peluang ke suku akhir apabila berjaya menewaskan Sabah 1-0 menerusi jaringan Khyril Muhymeen Zambri minit ke-44 di Stadium Darulaman, Alor Setar.

Kedua-dua pasukan itu kini berkongsi tujuh mata dan kelayakan salah satunya akan ditentukan pada perlawanan malam ini.

Bagi Kumpulan C , dua pasukan mengesahkan dua pasukan ke suku akhir apabila Johor FC sekadar mengikat Kelantan 1-1 di Stadium Pasir Gudang selepas gol pendahuluan tuan rumah menerusi Mohd Akmal Mohd Noor pada minit kedua disamakan Azammuddin Akil enam minit kemudian.

Di Stadium Negeri Petra Jaya, Kuching, Sarawak mencatatkan kemenangan pertama dengan menewaskan FELDA United 1-0 hasil jaringan Bobby Gonzalez pada minit ke-17 tetapi pasukan pelawat tetap dapat mengesahkan tempat ke suku akhir.

No comments:

Post a Comment