Thursday, September 15, 2011

Siapa Nak Usik Kerusi PKR Kalau Bukan PAS?

Mana-mana parti dalam Pakatan Rakyat (PR) tidak boleh ‘mengusik’ kerusi-kerusi yang diperuntukkan kepada mereka sebagaimana yang telah ditetapkan pada pilihan raya umum lalu.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Abd Rahman Yusof (gambar kiri) berkata, ketiga-tiga parti iaitu Pas, PKR dan DAP kekal dengan kerusi masing-masing.

Menurutnya, walaupun calon dari PKR kalah di kawasan tertentu, calon dari parti sama akan tetap bertanding di kerusi tersebut pada pilihan raya akan datang.

“Kerusi sudah ditetapkan sebagaimana dalam perjanjian dan tidak boleh diusik dan kalau calon parti itu tidak menang sekalipun, parti sama akan bertanding di kawasan tersebut.

“Jadi, tidak timbul sebarang isu bahawa kerusi-kerusi parti tertentu akan diambil parti lain dalam pilihan raya akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai laporan sebuah media tempatan bahawa DAP berhasrat menggantikan kerusi PKR di Pulau Pinang yang dianggap goyah dengan meletakkan calon Melayu pada Pilihan Raya Umum Ke-13.

Laporan tersebut turut memetik bahawa Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras DAP Melayu, Zulkifli Mohd Noor berkata, langkah itu perlu bagi memastikan kerusi yang dikuasai pembangkang terus kekal.

Abd Rahman bagaimanapun enggan mengulas sejauh mana kebenaran kenyataan tersebut sama ada ia mendapat persetujuan daripada kepimpinan DAP ataupun cuba dilaga-lagakan media.

Sementara itu, beliau yang juga Ketua PKR Cabang Dungun yakin calon PKR yang berjaya menjadi wakil rakyat tidak akan melompat parti pada pilihan raya umum akan datang.

Jelasnya, kepimpinan parti menetapkan syarat ketat untuk memastikan calon wakil rakyat akan datang adalah individu yang menaruh kesetiaan kepada parti.

“Penilaian calon pada peringkat jawatankuasa Pusat adalah mereka yang tidak goyah terhadap sebarang cabaran dan tidak berubah dari dulu sampai sekarang. Calon inilah yang akan kita tonjolkan,” katanya.

Sinar Harian

No comments:

Post a Comment