Menang dengan jumlah jaringan besar mungkin sudah cukup untuk melegakan seorang jurulatih.
Namun bagi Yunus Alif, dia mengakui kemenangan besar bukanlah sesuatu yang perlu dibanggakan jika para pemain masih gagal memberikan permainan sebenar seperti yang diharapkan.
Kelmarin, skuad kendalian Yunus, T-Team berpesta gol di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu selepas membelasah PDRM 4-0 pada aksi Kumpulan D saingan Piala Malaysia 2011.
“Sebagai jurulatih, saya bukan hanya mahu melihat kemenangan, tetapi lebih daripada itu adalah prestasi dan persembahan pemain-pemain di atas padang.
“Mungkin dari aspek lain, saya patut berbangga kerana kami berjaya meraih tiga mata, tetapi apa yang penting adalah persembahan keseluruhan,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Jelas Yunus, para pemainnya begitu mudah hilang fokus ketika melayan kunjungan PDRM kelmarin sehingga memberi ruang kepada pasukan lawan menguasai 20 minit permainan pada awal babak pertama.
Malah katanya, kombinasi pemain tengah juga sedikit kelam kabut selain benteng pertahanan yang mudah dimasuki pemain lawan.
“Selepas jaringan pertama pada penghujung babak pertama, barulah pemain-pemain saya bangkit dan cuba bergerak sebagai satu pasukan.
“Sepatutnya kami mampu menjaringkan lebih banyak gol pada perlawanan ini dan itu sebenarnya yang saya harapkan,” jelasnya lagi.
Dalam pada itu, Yunus turut memuji kelincahan pemain pertahanan, Norfadzly Alias yang berjaya menjaringkan tiga gol setakat ini.
“Saya lihat pemain ini semakin meningkat dan ia memberi bonus kepada kami apabila dia mampu menjaringkan gol dalam setiap perlawanan.
“Gandingan Indra Putra Mahyuddin dengan Fitri Omar juga semakin baik dan saya harap mereka terus kekal dengan aksi terbaik,” katanya.
Selepas tiga perlawanan, T-Team kini menduduki tangga kedua dengan enam mata.
No comments:
Post a Comment