Wednesday, September 7, 2011

Taman Halal di Terengganu, Labuan Dijangka Siap Tahun Ini

Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) menjangka pelaburan baru berjumlah RM1 bilion daripada firma tempatan dan asing akan diterima bagi taman halal di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Seri Jamil Bidin berkata daripada jumlah berkenaan, lebih 60 peratus daripada firma asing.

"Kami menyasar RM1 bilion menjelang akhir tahun ini. Kami telah memperoleh jaminan firma-firma di Jepun, Korea dan Pakistan," kata Jamil pada sidang akhbar semalam selepas sesi dialog dengan pengusaha-pengusaha taman halal dalam negara.

Dialog itu dipengerusikan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapha Mohamed.

Seramai 40 peserta dialog terdiri daripada wakil perbadanan pembangunan ekonomi negeri, pihak berkuasa pembangunan koridor, peserta logistik halal, pengendali taman halal, penyewa taman halal dan pengurusan kakitanganm agensi berkaitan.

Sebanyak RM6.029 bilion nilai pelaburan diluluskan bagi sembilan taman halal di mana RM4.7 bilion daripada firma asing.

Antara projek yang diluluskan termasuk daripada Coca-Cola (RM2 bilion), Sea Party Technology (RM1.8 bilion), PML Dairies Sdn Bhd (F&N) (RM250 juta) dan Cargill Palm Products Sdn Bhd (RM220 juta).

Jamil berkata peruntukan sebanyak RM200 juta akan dikemukakan kepada kerajaan bagi penyenggaraan taman-taman halal untuk lima tahun akan datang.

"Peruntukan bagi perparitan, rawatan air dan infrastruktur seperti jalan untuk taman-taman berkenaan bagi memastikan dalam keadaan baik," katanya.

Jamil berkata HDC ditugaskan untuk menyelaras dan memantau perkembangan semua taman halal di Malaysia.

"Pengusaha dan wakil taman-taman halal menegaskan tentang keperluan sebuah agensi untuk mengurus semua taman halal di Malaysia dan kami diberi tugas berkenaan," katanya.

Beliau berkata HDC juga akan mengukuhkan dan menyelaras usaha promosinya untuk taman-taman halal.

Jamil berkata usaha tersebut akan diperhebatkan untuk mencapai peningkatan dalam pembangunan industri halal.

Para peserta dialog itu juga menyuarakan keperluan untuk menyemak semula insentif cukai semasa bagi menarik lebih banyak pelaburan dalam perniagaan halal.

Sementara itu, Mustapa berkata dua lagi taman halal, masing-masing di Terengganu dan Labuan dijangka siap tahun ini. Sebanyak sembilan lagi, kebanyakannya dimiliki kerajaan negeri kini pada pelbagai peringkat pembangunan.

Mustapa berkata isu lain yang dibangkitkan dalam dialog berkenaan termasuk keperluan pembiayaan dan pensijilan.

No comments:

Post a Comment