Friday, September 16, 2011

Tiga Proklamasi Darurat Akan Dihapuskan

Datuk Seri Najib Razak, bersama Menteri dan Timbalan Menteri menyanyikan lagu Hari Malaysia selepas menyampaikan Perutusan Khas Hari Malaysia di Angkasapuri malam semalam.

Kerajaan akan membawa usul kepada Parlimen supaya tiga proklamasi darurat yang telah diisytihar dahulu dan dianggap masih berkuatkuasa sehingga kini ditamatkan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, usul di bawah Fasal 3, Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan itu adalah selaras dengan aspirasi rakyat yang mahukan Malaysia menjadi lebih terbuka lagi dinamik demokrasinya.

"Sebagai yang ramai maklum, bahawa kecuali darurat akibat konfrontasi tahun 1964 yang telah dibatalkan secara tersirat, kesemua proklamasi darurat lain yang telah diisytiharkan sebelum ini masih dianggap berkuatkuasa sehingga hari ini.

"Justeru, menginsafi bahawa realiti negara Malaysia telah berubah, merasai denyut nadi, resah gelisah dan aspirasi rakyat yang mahukan Malaysia menjadi lebih terbuka lagi dinamik demokrasinya di mana pendapat, idea dan kebimbangan massa lebih diberi perhatian agar dapatlah kita berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan sistem demokrasi lain di dunia yang berasaskan falsafah universal dari rakyat oleh rakyat dan untuk rakyat.

"Maka kerajaan kini di bawah Fasal 3 Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan akan membentangkan kepada kedua-dua majlis Parlimen dengan usul agar ketiga-tiga proklamasi darurat yang telah diisytihar dulu, supaya ditamatkan kuatkuasanya," katanya ketika menyampaikan perutusan khas Hari Malaysia sempena sambutan Hari Malaysia 2011 di Auditorium Perdana, Angkasapuri di Kuala Lumpur malam semalam.

Perutusannya itu disiarkan secara langsung menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) RTM1 dan TV3 ke seluruh negara.

Ia juga disampaikan di hadapan lebih 800 hadirin di auditorium tersebut.

Sejak kemerdekaan sehingga kini, sebanyak empat Proklamasi Darurat telah diisytiharkan iaitu Proklamasi Darurat pada 3 Sept 1964 bagi seluruh Persekutuan; Proklamasi Darurat 15 Mei 1969 bagi seluruh Persekutuan; Proklamasi Darurat 14 Sept 1969 di Sarawak dan Proklamasi Darurat 8 Nov 1977 di Kelantan.

Bagaimanapun, katanya Proklamasi Darurat 1964 terbatal secara implikasi oleh Proklamasi Darurat pada 1969 seperti yang diputuskan oleh Majlis Privi dalam kes Teh Cheng Poh lwn Pendakwa Raya (1979) 1 MLJ 50.

Proklamasi Darurat 1969 bagaimanapun masih berkuat kuasa kerana Proklamasi Darurat 1977 dengan jelas tidak menyentuh Proklamasi Darurat pada 1969.

Menurutnya, Fasal (3) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membatalkan Proklamasi dan Ordinan Darurat atau terhenti berkuat kuasa jika ketetapan diluluskan oleh Dewan Rakyat atau Dewan Negara yang mengungkai proklamasi atau ordinan itu.

Najib turut berkata, salah satu kesan pengisytiharan darurat 1969 adalah proses pilihan raya yang belum selesai di Sabah dan Sarawak telah digantung dengan peristiwa selanjutnya ialah pemilihan Dewan Rakyat disempurnakan dalam tempoh lebih kurang 20 bulan kemudian dan sistem Demokrasi Berparlimen dipulih kembali apabila keamanan negara telah stabil seperti sediakala.

No comments:

Post a Comment