Thursday, September 15, 2011

Timbalan Perdana Menteri ke Terengganu Selasa depan

Datuk Seri Ahmad Said sempat meluangkan masa hadir pada Majlis Jalinan Mesra Aidilfitri bersama Persatuan Bekas Pegawai Tadbir Negeri Terengganu (PBPTNT), malam kelmarin.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, akan melakukan lawatan kerja sehari ke Terengganu Selasa depan.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, berkata Tan Sri Muhyiddin dijadual tiba di Lapangan Terbang Kertih, Kemaman pada pada pagi hari berkenaan dan terus ke Politeknik Sultan Mizan Zainal Abuidin (PSMZA), Dungun.

“Ketika di PSMZA, Timbalan Perdana Menteri akan mengadakan perjumpaan dan berdialog dengan pemimpin masyarakat tempatan dan pegawai kanan kerajaan," kata Ahmad Said.

Beliau menyatakannya pada majlis Sambutan Hari Raya Persatuan Bekas Pegawai Tadbir Negeri Terengganu (PBPTNT) di sebuah hotel di Kuala Terengganu kelmarin.

Majlis berlangsung dalam suasana yang akrab dan meriah dengan kehadiran kira-kira 100 ahli persatuan dan isteri.

Turut hadir, isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Norliza Mahmud, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah dan Yang Dipertua PBPTNT, Datuk Mohd. Salleh Ismail.

Lebih istimewa, majlis tersebut turut dihadiri tiga ahli baru persatuan iaitu bekas Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mokhtar Nong, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Tesdec, Dato’ Mohd. Alim Muda dan bekas Pengurus Besar Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), Dato’ Zakaria Awang.

Beliau berkata, pada tengah hari, Muhyiddin akan menghadiri majlis ramah mesra dan jamuan hari raya membabitkan 15,000 tetamu di Dataran Merdeka, Dungun.

Pada sebelah petang, Timbalan Perdana Menteri dijadual merasmikan Pasar Baru Kedai Buloh dan majlis hari raya Parlimen Marang.

Sebelum mengakhiri lawatannya ke Terengganu, Muhyiddin dijadual mengadakan perjumpaan dengan imam, bilal dan guru agama di Sekolah Menengah Imtiaz di Kuala Terengganu, sebelum berlepas pulang melalui Lapangan Terbang Sultan Mahmud pada sebelah malam.

No comments:

Post a Comment