Thursday, September 15, 2011

YIT Hantar 10 Lepasan INSPI Ke Unisuska Dalam Bidang Dakwah

Yayasan Islam Terengganu (YIT) akan menghantar 10 pelajar lepasan Institut Pengajian Islam Kemaman (Inspi) untuk menyambung pelajaran di Universiti Sultan Syarif Kassim Riau Indonesia (Unisuska) dalam bidang dakwah akhir bulan ini.

Pengarah YIT Md Kamaru Al-Amin Ismail berkata ini adalah sebagai salah satu langkah YIT dan juga kerajaan negeri untuk menambah bilangan pendakwah sesuai dengan perkembangan Islam di Terengganu.

"Pelajar-pelajar tajaan Yayasan Terengganu (YT) itu akan mengikuti kursus berkenaan selama empat tahun di universiti tersebut," katanya di Kuala Terengganu, semalam.

Beliau berkata pada masa yang sama juga YIT akan memilih lepasan pelajar-pelajar Inspi untuk melanjutkan pelajaran dalam pelbagai bidang di Jordan, Mesir dan Maghribi Oktober ini.

Menurutnya pelajar-pelajar Inspi, yang merupakan pondok moden pengajian Islam yang dibangunkan YIT itu juga akan ditaja oleh kerajaan negeri dan bilangan yang akan dihantar kesana belum dipastikan lagi.

Md Kamaru Al-Amin berkata Inspi mempunyai kira-kira 500 pelajar dan jumlah itu akan ditingkatkan sehingga 700 orang apabila beberapa blok tambahan bangunan siap tahun depan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata YIT memohon bajet RM15 juta daripada kerajaan negeri untuk membesarkan Pondok Darul Iman (PDI), sebuah lagi pusat pengajian Islam di Kampung Kerandang, Hulu Terengganu.

Md Kamaru Al-Amin berkata pembesaran pondok itu akan dilakukan secara beperingkat dengan setiap peringkat memerlukan perbelanjaan RM5 juta.

Katanya projek pembesaran PDI itu melibatkan kawasan seluas kira-kira 10 ekar.

No comments:

Post a Comment