Wednesday, September 14, 2011

T'Team Bergaya, Terengganu Tersungkur Kepada Negeri Sembilan

Pemain Negeri Sembilan, Hairuddin Omar dihalang Pemain Terengganu, Mohd Faiza Mohamad dalam Piala Malaysia di stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, malam tadi.

Pada ketika Terengganu tersungkur di Paroi, T’Team bangkit begaya dan memberi amaran ia mampu menjadi pasukan yang diguruni.

Kenduri gol T-Team bermula apabila Zairo Anuar Zailani dan Nor Fazly Alias meledak dua gol pantas pada minit terakhir sebelum rehat dan Mohd Fitri Omar serta Norfarhan Muhamad melengkapkan derita PDRM pada babak kedua.

Kalah kepada Kuala Lumpur di Selayang Sabtu lalu dan semalam Kuala Lumpur seri dengan Selangor membayangkan betapa T’Team akan menjadi saingan antara dua pasukan yang akan ke peringkat seterusnya.

Kuala Lumpur semalam mengekalkan rekod tanpa kalah dalam Piala Malaysia apabila mengikat Selangor tanpa jaringan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang semalam.

Kejayaan meraih satu mata membantu skuad bimbingan Razip Ismail kekal di tangga teratas Kumpulan D dengan kelebihan satu mata mengatasi T-Team yang menang 4-0 ke atas PDRM.

Mengutip hanya satu mata bermakna Selangor jatuh ke tangga ketiga kumpulan, dipintas T-Team yang membelasah PDRM 4-0 di Stadium Ismail Nasiruddin Shah.

Jika tidak kerana keputusan kontroversi pengadil, Shukri Nor yang enggan menafikan dua penalti kepada Kuala Lumpur pada penghujung perlawanan, Selangor pasti berputih mata.
Negeri Sembilan sudah mula memberi isyarat betapa mereka kini muncul selaku ancaman terbaru memburu mahkota kejuaraan Piala Malaysia, musim ini.

Malam tadi, anak didik Azraai Khor Abdullah merakamkan kemenangan penting menewaskan juara baru Piala FA, Terengganu 1-0 dalam saingan Kumpulan C di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi hasil jaringan tunggal Shahurain Abu Samah yang menolak masuk pada minit ke 64.

Pada awal minit perlawanan, Negeri Sembilan lebih menguasai perlawanan apabila hampir mendahului seawal minit ke-11, namun tendangan Hairuddin Omar tepat ke dakapan, Mohd Sharbinee Allawe.

Pada minit ke 28, penyerang berpengalaman itu sekali lagi terlepas peluang menjaringkan gol apabila gagal menolak masuk bola ke gawang selepas cemerlang memperdayakan pertahanan Terengganu diketuai Marzuki Yusoff.

Langkah jurulatih, Azraai Khor menggandingkan Hairuddin, Ahmad Fakri Saarani dan Mohd Firdaus Azizul di barisan depan tampak berkesan apabila berjaya menembusi gawang Terengganu menerusi Shahurain yang menolak masuk pada minit ke 64.

Sementara itu, satu lagi perlawanan Kumpulan B menyaksikan PKNS berjaya mengutip mata penuh di Stadium MBPJ, Kelana Jaya apabila mengetepikan sai¬ngan Sime Darby 1-0 menerusi jaringan P Rajesh pada minit kesembilan.

Sementara itu, dua pasukan Johor yang bertandang ke Malaysia Timur mengalami nasib berbeza.

Johor FC lega selepas jaringan tunggal Eddy Helmi Abdul Manan tiga minit memasuki babak kedua cukup untuk menewaskan Sarawak di Stadium Negeri, Kuching.

Di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah meneruskan rentak cemerlang membenam Johor 3-1 menerusi dua jaringan Zainizam Marjan dan Radzi Mohd. Hussin. Gol sagu hati Johor dijaringkan Mohd. Azuwad Mohd. Arip.

Perak pula menundukkan Kedah 2-1 di Stadium Perak, Ipoh.

Muhammad Syafiq Jamal meletakkan Perak di depan pada minit ke-15 sebelum disamakan kedudukan oleh Mohd Khyril Muhymeen Zambri. Kealpaan pertahanan Kedah dihukum dua minit kemudian oleh Mohd. Failee Ghazali untuk memberikan tiga mata kepada tuan rumah.

Sumber - Berita Harian/Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment