Wednesday, September 14, 2011

UMT Catat Kemasukan Teramai bagi Sesi 2011/2012

Sebahagian pelajar baru membaca ikrar pada Majlis Jalinan Mesra Sesi 2011/2012 di UMT, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mencatatkan kemasukan pelajar paling ramai apabila 2,113 orang mendaftar bagi sesi 2011/2012.

Naib Canselor UMT, Prof. Datuk Dr. Aziz Deraman berkata, daripada jumlah itu, seramai 610 orang ialah pelajar lelaki dan 1,503 pelajar perempuan.

"Mereka telah selesai mengikuti Majlis Minggu Ikrar Pelajar Baharu Semester Pertama sesi tersebut dan bakal mengikuti program di peringkat ijazah sarjana muda selama lapan semester," katanya ketika berucap pada Minggu Jalinan Mesra Sesi 2011/2012 di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata, UMT kini mempunyai lima fakulti dengan 25 kursus Ijazah Sarjana Muda serta satu kursus Diploma ditawarkan.

Mulai tahun depan, satu lagi fakulti baru akan diwujudkan iaitu Fakulti Perikanan dalam usaha memberi pembelajaran yang lebih khusus terutama penyelidikan bidang tersebut.

Selain itu Dr. Aziz berkata, UMT juga akan memperkenalkan dua program baru iaitu Diploma Pengurusan Pelancongan dan Diploma Kejuteraan Infomatik Marin mulai sesi kemasukan tahun depan.

No comments:

Post a Comment