Seramai 1,164 penduduk di daerah Setiu kini berdaftar sebagai pesakit diabetes dengan klinik Kementerian Kesihatan.
Pegawai kesihatan daerah, Dr Rohayaty Muda berkata, jumlah itu tidak melibatkan pesakit yang menerima rawatan di klinik swasta di daerah ini, atau yang menggunakan rawatan tradisional.
“Sebagai langkah pencegahan awal, Kementerian Kesihatan akan memastikan penglibatan masyarakat setempat dalam setiap program yang diaturkan supaya boleh memberi kesedaran secara berterusan.
“Sekarang pun, pejabat kesihatan daerah banyak melaksanakan program turun padang ke setiap kampung terpilih sebagai salah satu alternatif menyedarkan rakyat agar tidak takut membuat pemeriksaan kesihatan dari awal,” katanya pada Majlis Pelancaran Non Communicable Disease Programme (NCDP) 1Malaysia bagi kakitangan Pejabat Kemas daerah Setiu.
Turut hadir pada majlis itu Adun Permaisuri, Abdul Halim Jusoh dan Pegawai Kemas Daerah Setiu, Mohd Madrisham Mokhtar.
Dr Rohayaty berharap penduduk di Setiu sentiasa peka dengan tahap kesihatan mereka supaya kehidupan bersama keluarga lebih berkualiti.
Dalam pada itu, menurutnya berdasarkan kajian dilakukan, terdapat empat faktor menyebabkan kematian awal dalam kalangan masyarakat iaitu tidak mengamalkan cara hidup sihat, gaya pemakanan tidak seimbang, stres dan merokok.
“Justeru, masyarakat harus ambil langkah pencegahan awal untuk melakukan perubahan kerana ia bukan sahaja boleh memberi kesan negatif, malah menyebabkan produktiviti diri menurun.
“KKM juga akan terus memainkan peranan melaksanakan aktiviti secara berjadual selaras moto KKM iaitu ‘sihat sepanjang hayat, kualiti sepanjang masa’,” katanya.
Terdahulu menurutnya, program NCDP 1Malaysia ini melibatkan dua kumpulan di daerah ini iaitu di mukim Guntong dan kakitangan Kemas.
Katanya, projek dijalankan selama enam bulan ini menetapkan matlamat memastikan setiap peserta terlibat dapat menurunkan 10 peratus dari berat badan asal mereka sepanjang tempoh tersebut.
“Oleh itu, program Julai lalu diharapkan akan mendapat hasil positif sebagai langkah permulaan sebelum diteruskan kepada kumpulan sasaran lain,” katanya.
Sinar Harian
No comments:
Post a Comment