Thursday, October 27, 2011

Ismail Faruqi Tak Kecil Hati Jika Tak Sertai Akhir Piala Malaysia

Penyerang Tengah skuad penyu Ismail Faruqi Asha`ri tidak berkecil hati jika tidak diturunkan pada perlawanan akhir Piala Malaysia menentang Negeri Sembilan, Sabtu ini.

Menurut Ismail (gambar kiri), sebaliknya sebagai seorang pemain profesional, beliau akan memberikan sokongan padu kepada rakan sepasukannya yang akan beraksi dalam perlawanan itu.

"Walaupun dalam perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia menentang Selangor Sabtu lalu saya tidak diturunkan; diambilalih oleh pemain tengah Ahmad Nordin Alias (gambar kanan), namun saya tak berkecil hati.

"Sebagai pemain pasukan Terengganu, saya hanya mengharapkan kejayaan pasukan dan percaya pemain kesebelasan utama yang akan dipilih oleh jurulatih Irfan Bakti...merupakan yang terbaik setakat ini," katanya ketika ditemui semasa sesi latihan di Kuala Terengganu, semalam.

Ismail, 25, berkata Ahmad Nordin telah membuktikan bahawa dia memang beraksi dengan baik setakat ini.

Tempat Ismail Faruqi mula diambilalih Ahmad Nordin sejak dia digantung satu perlawanan selepas menerima layangan kad merah ketika menentang Kelantan pada 10 Oktober lalu.

Ketika saingan separuh akhir pertama menentang Selangor pula, pemain yang pernah menyarung jersi skuad kebangsaan itu hanya sempat beraksi selama 30 minit setelah diturunkan sebagai pemain gantian.

Ismail berkata, beliau akan berusaha sebaik mungkin untuk meraih perhatian Irfan agar dapat diturunkan pada perlawanan akhir itu nanti.

"Dapat beraksi sekejap pun tak apa. Saya dah puas hati," kata anak jati Kuala Terengganu itu.

No comments:

Post a Comment