Adam Aziz (kiri) bersama 19 awak-awak warga Vietnam berumur antara 17 hingga 41 tahun yang ditahan di perairan Kemaman, semalam.
Dua bot nelayan Vietnam yang mengibarkan bendera Kelantan bagi mengaburi pihak berkuasa ketika menceroboh perairan negara ini ditahan kira-kira 114 batu nautika dari Pantai Kuala Kemaman pagi semalam.
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) turut menahan 27 nelayan asing dan merampas 20 tan metrik hasil tangkapan bernilai kira-kira RM20,000 serta peralatan penangkapan ikan.
Ketua Penguat Kuasa Maritim Daerah Kemaman, Kapten Maritim Adam Aziz memberitahu, kejayaan itu hasil maklumat yang diterima oleh pihaknya.
“Sehubungan itu, Kapal Maritim Malaysia KM Segantang dengan pegawai memerintah kapal, Leftenan Maritim Mohd. Marmizi Md. Nor bersama 20 anak kapal menemui sebuah bot nelayan Vietnam yang sedang menjalankan aktiviti menangkap ikan dengan menggunakan pukat tunda.
“Bot berkenaan cuba beredar namun berjaya dikejar pada jarak tiga batu nautika dan tembakan amaran dilepaskan sebelum bot itu ditahan,” ujarnya di sini hari ini.
Kata beliau, bot itu membawa 19 nelayan warga Vietnam berumur antara 17 dan 41 tahun tanpa pengenalan diri dan permit yang sah di samping muatan 10 tan metrik ikan dan sotong bernilai lebih RM10,000.
Adam memberitahu, pihaknya turut mengesan sebuah lagi bot nelayan Vietnam yang sedang menjalankan aktiviti menangkap ikan berhampiran kawasan tersebut.
“Bot itu berjaya ditahan selepas mengejar selama 10 minit. Ia membawa bersama tujuh nelayan berumur antara 20 hingga 45 tahun tanpa sebarang dokumen pengenalan diri.
“Kami turut merampas lebih 10 tan metrik pelbagai jenis ikan serta 100 kilogram sotong dari bot berkenaan,” ujarnya.
Menurut Adam lagi, bot yang bernilai lebih RM3 juta setiap sebuah itu dibawa masuk ke pangkalan maritim di sini untuk disita sebelum dilelong bersama semua hasil tangkapan.
“Bot berkenaan bersama tekong serta awak-awak ditahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran.
“Sabit kesalahan tekong bot boleh didenda RM1 juta manakala awak-awak didenda RM100,000.00 atau penjara tidak melebihi dua tahun,” katanya.
No comments:
Post a Comment