Saturday, October 15, 2011

SKMM Sasar 97 Peratus Liputan Telefon Selular Di Terengganu Tahun Depan

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Wilayah Timur mensasarkan liputan telefon selular sehingga 97 peratus di seluruh Terengganu menjelang akhir tahun depan.

Pengarah SKMM Wilayah Timur, Mohd Shafie Harun berkata pihaknya kini dalam proses membina 24 lagi menara telekomunikasi terutamanya di kawasan peranginan seperti Pulau Redang dan pedalaman termasuk sekitar daerah Hulu Terengganu untuk merealisasikan tujuan tersebut.

"Sehingga kini, kita telah mempunyai 77 buah menara telekomunikasi di setiap daerah di negeri ini dan menara baru itu pula dijangka akan siap sepenuhnya tahun depan bagi membolehkan sasaran itu dicapai," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Hak Pengguna dalam Perkhidmatan Komunikasi dan Multimedia di Pulau Duyong di Kuala Terengganu, kelmarin.

Seminar itu diikuti oleh 362 peserta yang terdiri daripada penuntut universiti dan kolej serta kakitangan daripada agensi kerajaan dan swasta.

Menurut Mohd Shafie, Terengganu mencatatkan kadar penggunaan jalur lebar tertinggi berbanding negeri lain di kawasan Pantai Timur iaitu sebanyak 57 peratus bagi setiap 100 keluarga.

Ini diikuti oleh Pahang iaitu sebanyak 48 peratus dan Kelantan 46 peratus, kata beliau.

Sementara itu beliau berkata, Terengganu kini telah memiliki sebanyak 158 perkampungan `hotspot' yang menyediakan kemudahan Internet tanpa wayar (WiFi).

No comments:

Post a Comment