Monday, October 3, 2011

3,000 Guru YIT Terima Tunggakan

Hampir 3,000 guru khidmat masyarakat mula menerima tunggakan elaun daripada Yayasan Islam Terengganu (YIT) membabitkan peruntukan berjumlah RM4.7 juta.

Pengarah YIT, Md Kamaru Al-Amin Ismail, berkata tunggakan itu bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini.

Tunggakan itu berikutan kenaikan elaun daripada RM150 sebulan kepada RM300, katanya selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2011 dan Penganugerahan Pensijilan 5S YIT di Menara YIT , Kuala Terengganu, semalam.

“Kenaikan bayaran elaun ini sebenarnya pengiktirafan kepada guru khidmat masyarakat kendalian YIT seperti guru kelas agama dan guru kelas berzanji yang selama ini berkorban masa mengendalikan kelas di kampung.

“Jadi kita harapkan kenai-kan bayaran tunggakan elaun ini memberikan mereka lebih bermotivasi untuk memberikan perkhidmatan lebih baik pada masa depan,” katanya.

Majlis perasmian tersebut disempurnakan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah.

Dalam perkembangan sama, Md Kamaru Al-Amin berkata, permohonan menjadi guru khidmat masyarakat sentiasa mendapat sambutan.

Menurutnya, dianggarkan 200 permohonan yang diterima pihaknya setiap tahun bagi menggantikan guru yang bersara atau guru lama dan permohonan untuk menjadi guru baru di kampung.

“Walaupun kita terbuka, kita mempunyai syarat yang agak ketat untuk menjadi guru khidmat masyarakat. Antara syaratnya ialah perlu sokongan daripada pemimpin masyarakat seperti daripada Jawatan Kuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) dan wakil rakyat kawasan.

“Jika mereka layak, kita akan pertimbangkan permohonan mereka. Ia bagi memastikan hanya guru benar-benar berkualiti yang akan kita lantik,” katanya.

No comments:

Post a Comment