Monday, October 3, 2011

MCA Terengganu Tidak Minat Isu Hudud - Toh

MCA tidak akan sesekali memainkan isu hudud untuk meraih undi dalam kalangan masyarakat bukan Islam pada pilihan raya akan datang.

Pengerusi MCA Terengganu, Datuk Toh Chin Yaw berkata, pelaksanaan undang-undang Islam itu hanya dimainkan parti yang tidak berpendirian tetap dan tidak mencapai persefahaman antara satu sama lain.

Bagi MCA, Chin Yaw menegaskan, pihaknya bersama Barisan Nasional (BN) untuk menyelesaikan permasalahan rakyat selain memberi kefahaman bagi meningkatkan keyakinan mereka terhadap BN untuk terus mengurus tadbir negara.

“Memang bukan MCA memainkan isu ini sebaliknya, DAP yang tidak setuju dengan hudud, maka orang boleh ambil isu ini untuk hentam dia,” katanya kepada Sinar Harian, kelmarin.

Beliau berkata, parti dalam Pakatan Rakyat (PR) sering kali membangkitkan isu sensitif sehingga memperlihatkan kepada rakyat perbezaan ideologi yang besar antara mereka terutama membabitkan Pas dan DAP.

Beliau yang juga Adun Bandar berkata, perkara sensitif tidak akan sesekali dibangkitkan MCA.

Chin Yaw sendiri mengakui tertanya-tanya sama ada isu hudud yang dibangkitkan itu mempunyai agenda lain untuk tarik perhatian rakyat atau hanya untuk menyembunyikan isu komunis yang ditimbulkan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu, baru-baru ini.

Beliau berkata, walaupun Pas dan DAP tahu pendirian mereka tidak sama yang tidak memungkinkan hudud berlaku, namun kedua-duanya masih mahu bermain politik dengan rakyat.

No comments:

Post a Comment