Empat lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan pecah masuk ke dalam kedai emas dan mencuri barangan kemas di Taman Jertih, Jertih, Besut pada 31 Ogos lepas.
Mereka dituduh bersama seorang lagi yang masih bebas melakukan perbuatan itu kira-kira 3.45 pagi hingga 7.50 pagi di Rumah Kedai Emas Din Mahmood, Lot 333 Tingkat Bawah, Taman Jertih, Jertih Besut.
Cheng Hing Fei, dari Bentong Pahang; Lim Shing, 49, dari Taman Balakong Seri Kembangan, Selangor; Leong Weng Sang, 52, dari Puchong Selangor; dan Koh Kok Hin 44, dari Sentul, Kuala Lumpur dituduh melakukan jenayah tersebut terhadap kedai dan barang kemas yang dimiliki Hishammuddin Mat, 31.
Mereka dituduh mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara lima tahun serta denda dan jika kesalahan itu kesalahan mencuri boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun.
Pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nor Shuzianna Shakila Raja Mamat.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Noraslinawati Mohd Arshad.
Mahkamah kemudian menetapkan 10 November ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan menawarkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.
No comments:
Post a Comment