Wednesday, October 12, 2011

Kanak-kanak, Remaja Malaysia Layari Internet Purata 19 Jam Seminggu

Kanak-kanak dan remaja Malaysia yang berusia 8 hingga 18 tahun didapati melayari internet pada purata 19 jam seminggu, menyebabkan mereka sentiasa terdedah kepada ancaman atau budaya negatif dunia siber seperti buli, penipuan identiti dan pornografi.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata berdasarkan laporan antarabangsa, Norton Online Family Report 2010, hanya empat daripada 10 ibu bapa di negara ini yang mengawasi kandungan laman yang diakses oleh anak mereka.

Oleh yang demikian adalah amat penting bagi ibu bapa memberi lebih perhatian kepada anak-anak dengan turut mengawasi laman web yang diakses mereka, katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar mengenai perlindungan kanak-kanak "Child Online Protection" di Kuala Lumpur, semalam.

Shahrizat berkata kaji selidik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menunjukkan kadar penembusan internet di negara ini mencatatkan 60 peratus daripada 28.6 juta jumlah penduduk Malaysia pada 2010, dan ia dijangka meningkat sehingga 70 peratus menjelang 2015.

"Senario ini menunjukkan rakyat Malaysia semakin 'IT savvy' setanding dan konsisten dengan trend antarabangsa, dan kebarangkalian pengguna IT terdedah kepada ancaman dunia siber semakin tinggi termasuk kanak-kanak," katanya.

No comments:

Post a Comment