Pejabat Kawal Selia Padi Beras Kelantan merampas 90 tan metrik beras tempatan dan import pelbagai gred bernilai RM170,000 dalam serbuan di sebuah gudang simpanan berlesen di Kuala Besut, Terengganu, kelmarin.
Menurut sumber, serbuan pukul 2 petang itu dilakukan susulan penahanan sebuah treler yang membawa muatan 35 tan metrik beras super tempatan 15 peratus (hancur) di Kilometer 29 Lebuh Raya Jeli-Gerik, Selasa lalu.
"Hasil siasatan, serbuan dan pemeriksaan yang dijalankan terhadap setor terbabit dan menemui timbunan beras tempatan dan juga yang diimport.
"Berdasarkan siasatan, syarikat tersebut disyaki melanggar peraturan di bawah Akta Kawalan Padi Beras 1994," katanya kepada pemberita di Kota Bharu semalam.
Sumber memberitahu, beras yang dirampas itu dipindahkan ke stor Lundang semalam, sementara menunggu keputusan mahkamah berhubung kes terbabit.
"Pemeriksaan dan siasatan yang dilakukan turut mendapat kerjasama Pejabat Kawal Selia Padi dan Beras Terengganu serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Kelantan," katanya.
Berikutan rampasan tersebut, seorang lelaki berusia 40-an dipercayai pemilik gudang itu ditahan.
No comments:
Post a Comment