Friday, October 14, 2011

Agong, MB hadir mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-225

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin (kiri) diiringi Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail; Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V dan Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berangkat menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu Ke-225 pada hari kedua di Istana Negara, Kuala Lumpur, semalam.

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin semalam berangkat menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu Ke-225 di Istana Negara di Kuala Lumpur.

Seri Paduka diiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Mesyuarat dua hari yang berakhir semalam dipengerusikan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.

Semua Raja Melayu hadir kecuali Terengganu diwakili Tengku Seri Bendahara Raja Tengku Mustaffa Kamel dan Pahang oleh Tengku Mahkota Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng dan Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud tidak hadir.

Mengiringi Raja Melayu pada mesyuarat itu ialah Menteri Besar, termasuk Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said.

Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Sabah dan Melaka diiringi Ketua Menteri masing-masing.

Kelmarin, Sultan Kelantan, turut mempengerusikan Mesyuarat ke-225 Majlis Raja-Raja berkenaan.

Mesyuarat hari pertama itu dihadiri semua Raja Melayu kecuali Terengganu yang diwakili Tengku Seri Bendahara, Raja Tengku Mustaffa Kamel dan Pahang oleh Tengku Mahkota Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Baginda semua diiringi Menteri Besar masing-masing manakala Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Sabah dan Melaka diiringi Ketua Menteri masing-masing kecuali Sarawak yang tidak hadir dalam mesyuarat itu.

Santapan malam bagi memuliakan Mesyuarat ke-225 Majlis Raja-Raja diadakan di Istana Negara malam kelmarin.

No comments:

Post a Comment