Tuesday, October 11, 2011

Ahmad Ramzi Dakwa SMS Ugutan Dilakukan Musuh Politik

Datuk Dr. Ahmad Ramzi Mohamad Zubir semalam memilih memberi keterangan secara bersumpah ketika membela diri di Mahkamah Sesyen di sini terhadap tuduhan melakukan ugutan bunuh terhadap tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Terengganu pada 2009.

Dalam keterangannya, beliau menafikan pernah menghantar SMS ugutan terhadap tiga ADUN yang merupakan kenalannya itu, sebaliknya mendakwa SMS itu dihantar oleh musuh politik yang ingin mengambil kesempatan untuk melaga-lagakan dua pihak yang wujud dalam UMNO Terengganu ketika itu.

Katanya, beliau percaya perbuatan mengaitkan beliau sebagai penghantar SMS itu juga bertujuan menjatuhkan Datuk Seri Idris Jusoh, yang tidak dilantik semula sebagai Menteri Besar Terengganu selepas pilihan raya umum ke-12 pada 2008.

Ahmad Ramzi yang merupakan bekas Setiausaha Politik Idris berkata, walaupun BN menang di Terengganu pada pilihan raya umum itu, Idris tidak dilantik semula sebagai Menteri Besar, sebaliknya Datuk Seri Ahmad Said dilantik memegang jawatan itu.

''Kita dapati ada pihak yang cuba nak laga-lagakan Menteri Besar lama (Idris) dengan yang baru (Ahmad), sampai timbul cerita nak bubar Dewan, nak buat undi tidak percaya (terhadap Ahmad) dan nak tukar Speaker, dan ketika itulah timbul isu SMS ugutan itu,'' katanya di hadapan Hakim M Bakri Abd Majid.

Katanya, pada hakikatnya jika undi tidak percaya diterima dan Dewan Undangan Negeri dibubarkan, Idris tidak semestinya dilantik menjadi Menteri Besar kerana pelantikan Menteri Besar adalah kuasa Sultan, dan beliau tidak mendapat faedah secara langsung daripada penghantaran SMS itu kerana tidak semestinya dilantik semula sebagai Setiausaha Politik Idris.

Beliau berkata, sesiapa juga yang mempunyai nombor telefon tiga ADUN itu boleh menghantar SMS berkenaan melalui capaian Internet di kawasan rumahnya memandangkan kemudahan Internet di rumahnya itu tidak perlu diletakkan kata laluan kerana mengalami kerosakan teknikal.

Ahmad Ramzi turut menafikan yang beliau telah menyerah diri di balai polis setelah dikaitkan dengan kes itu.

''Pada 25 April 2009 adalah hari yang mengejutkan saya apabila polis keluar kenyataan yang kaitkan saya dengan kes ugutan SMS ini.

''Tapi pada 26 dan 27 April pula, nafi polis Terengganu cari saya. Dan 9 Mei pula polis Terengganu buat kenyataan lagi kalau saya tak lapor diri, waran tangkap akan dikeluarkan terhadap saya.

''Bila macam tu saya yang berada di Kuala Lumpur ambil keputusan untuk pulang ke Terengganu untuk lapor diri di balai polis, tapi sebaik saya tiba di sana, saya ditangkap kerana pihak polis kata mereka ada bukti mengaitkan saya dengan kes itu.

Tapi bila saya minta mereka tunjukkan bukti itu, mereka tak tunjuk dan mereka suruh saya mengaku salah,'' katanya.

Ahmad Ramzi pada 7 September lalu diperintah membela diri atas dua tuduhan menghantar SMS ugutan dan memfitnah bekas Setiausaha Sulit Menteri Besar Terengganu, Wan Ahamad Wan Muda.

Beliau didakwa mengugut ADUN Paka, Mohd. Ariffin Abdullah; ADUN Permaisuri, Abd Halim Jusoh dan ADUN Ajil, Datuk Rosol Wahid di E726, Kampung Kubang Parit antara 11.21 malam dan 11.25 malam, pada 13 April 2009.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, beliau didakwa memfitnah Wan Ahamad yang kini Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, dengan menghantar SMS ugutan itu melalui nombor telefon bimbit 019-9158369 milik Wan Ahamad.

Ahmad Ramzi diwakili peguam Datuk Hazman Ahmad, Mohd Noor Mahmood dan Rosli Abd. Rahman manakala pihak pendakwaan diwakili tiga Timbalan Pendakwa Raya iaitu Mohd. Jazamuddin Ahmad Nawawi, Ooi Chooi Gaik dan Nur Azimul Azami.

Perbicaraan bersambung hari ini.

No comments:

Post a Comment