Kerajaan negeri akan menggantikan kesemua rumah bot yang beroperasi di Tasik Kenyir kepada rumah bot yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan moden agar lebih selesa dan selamat.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, penggantian secara berperingkat itu perlu dilakukan sebagai persediaan menerima limpahan pengunjung apabila kawasan bebas cukai mulai beroperasi di tasik itu kelak.
Katanya, rumah bot gentian kaca itu dijangka menggunakan kepakaran dan teknologi China dan setiap satu dianggarkan bernilai sehingga RM1 juta bergantung kepada bilangan bilik yang disediakan.
Bagi tujuan itu, Ahmad akan mengetuai rombongan ke Hainam, China pada 22 Oktober ini bagi meninjau projek pembinaan rumah bot di negara berkenaan.
‘‘Kita akan melihat pembuatan rumah bot di negara tersebut dan kepakaran mereka akan dibawa untuk membina rumah bot di sini,’’ katanya selepas melancarkan Sukan Keluarga Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong di padang Kampung Matang di Telemong, semalam.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Tengku Putera Tengku Awang dan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Telemong, Rozi Mamat.
Sehubungan itu, semua pengusaha rumah bot di Tasik Kenyir tidak dibenarkan membina bot baru sehingga kesemua rumah bot yang sedia ada diganti.
Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment