Akta Veteran 2011 yang dibentangkan di Parlimen baru-baru ini menerima sokongan padu Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PTM) dari sembilan negeri, yang menyifatkannya sebagai mampu membela masa depan serta kebajikan bekas tentera secara menyeluruh.
Naib Presiden PBTM, Kapten (B) Shahruddin Omar (gambar kanan) berkata ia sekaligus menyangkal kenyataan dan pendirian Presiden PBTM, Datuk Muhammad Abd Ghani, yang mendakwa kononnnya akta berkenaan akan memansuhkan semua persatuan bekas tentera sedia ada selain mengekang kebebasan.
"Dakwaan itu tidak benar kerana semua persatuan bekas tentera yang berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS) diberi tempoh tiga bulan untuk mendaftar persatuan masing-masing di bawah Majlis Veteran dan boleh berpersatuan seperti biasa bagi mengenengahkan isu atau masalah selain tidak kehilangan kebebasan bersuara," katanya kepada sidang media di Putrajaya hari ini.
Shahruddin berkata, bantahan terburu-buru oleh Presiden PBTM itu juga, seolah-olah mewakili pendirian dan pendapat lebih 400,000 bekas tentera juga adalah salah.
Beliau berkata perkara itu, menimbulkan banyak implikasi kepada persatuan bekas tentera sedangkan mereka memperakui selama ini, kerajaan banyak membantu bekas tentera dan keluarga mereka mengikut peraturan sedia ada.
Akta berkenaan yang dibentangkan untuk bacaan kali kedua di Parlimen 4 Oktober lepas itu, membolehkan semua persatuan yang menjaga kebajikan bekas tentera disatukan di bawah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV).
Shahruddin berkata, penggubalan akta itu satu pengiktirafan tinggi kerajaan terhadap sumbangan dan pengorbanan bekas tentera serta anggota keluarga selain dapat memastikan kebajikan mereka lebih terbela.
"Dengan akta baru tersebut kerajaan dapat menyelaras badan khusus bagi memastikan setiap bekas tentera menerima ganjaran sewajarnya, tidak kira di pelosok mana mereka berada, secara lebih terurus dan teratur," katanya.
Beliau berkata sebelum ini, kebanyakan anggota tentera terutama di Sabah dan Sarawak, sukar dihubungi PBTM bagi menyampaikan maklumat terkini atau insentif baru yang ditawarkan kerajaan akibat kekangan dari segi sumber dan logistik, sekali gus menyebabkan mereka tidak berpeluang menikmatinya.
"Saya percaya kesemua 400,000 bekas tentera akan menyokong akta itu sekiranya mereka mengetahui manfaatnya apabila ia diluluskan kelak, malah percaya lima lagi PBTM akan turut menyokong jika mendapat penjelasan sebenar," katanya.
Shahruddin berkata, lima PBTM mewakili Johor, Negeri Sembilan, Perak, Kelantan dan Terengganu belum lagi menyatakan pendirian masing-masing.
No comments:
Post a Comment