Wednesday, October 19, 2011

Exxonmobil Meterai Perjanjian Kontrak Luar Pesisir Terengganu Bernilai RM236 Juta

ExxonMobil Exploration and Production Malaysia Inc. (EMEPMI), anak syarikat Exxon Mobil Corporation, menandatangani kontrak bernilai RM236 juta dengan Malaysia Marine and Heavy Engineering Sdn Bhd (MMHE) bagi menyediakan kemudahan untuk projek pembangunan Telok Gas di luar pesisir Terengganu.

Pengerusi dan Presidennya Hugh W. Thompson berkata MMHE akan membuat dan membina bahagian atas dan jaket platform bagi projek yang dikendalikan ExxonMobil.

"Projek tersebut akan melibatkan pemasangan dua platform satelit gas, Telok A dan B, sambungan kepada hab gas sedia ada Guntong dan pemasangan kemudahan yang dirancang untuk dimulakan pada suku ketiga 2012," katanya semasa berucap pada majlis pemeteraian kontrak di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata pembangunan 14 telaga dirancang dalam projek yang dijangka bermula pada suku pertama 2013.

"Ini akan menyediakan bekalan tambahan bagi keperluan tenaga dan perindustrian Malaysia serta membantu menggalakkan keseluruhan pertumbuhan sektor gas asli," katanya.

Thompson berkata dianggarkan 1,400 pekerja akan terlibat dalam pelbagai aspek pembuatan, pengurusan projek dan perkhidmatan sokongan di lapangan berkenaan dan di tapak serta pejabat utama.

"Kerja-kerja fabrikasi akan mengambil masa kira-kira 18 bulan dan semasa tempoh tersebut, kami menjangka kehadiran sejumlah besar tenaga kerja projek yang akan menyumbang ke arah ekonomi tempatan," kata beliau.

Pada majlis berkenaan, Thompson mewakili EMEPMI manakala MMHE diwakili oleh pengarah urusan dan juga ketua pegawai eksekutifnya Dominique De Soras.

Dalam ucapannya, De Soras berkata projek tersebut terdiri daripada dua bahagian atas dan dua jaket yang menyokong platform.

"Bahagian atasnya yang dikenali sebagai Telok A dan Telok B, merupakan kemudahan tanpa pekerja bahagian atas kepala telaga dengan anggaran berat masing-masing 1,735 tan metrik (MT) dan 1,648 MT.

"Kedua-dua bahagian atas dijangka mengeluarkan 450 juta kaki padu standard (MSCF) gas sehari di lapangan Telok luar pesisir semenanjung Malaysia (Terengganu)," katanya.

No comments:

Post a Comment