Friday, October 21, 2011

Asiaflex Products Catat Penghantaran Sulung Untuk Petrofac




Kilang pengeluaran paip boleh lentur Technip-Asiaflex Products Sdn Bhd di Tanjung Langsat, Johor, membuat penghantaran sulungnya baru-baru ini kepada Petrofac E&C Sdn Bhd (Petrofac).

Dalam satu kenyataan semalam, Technip berkata ia telah diberikan projek itu pada Mac tahun ini dan paip itu akan digunakan bagi pembangunan medan Sepat di luar pantai Terengganu.

Penghantaran itu amat penting bagi Asiaflex Products kerana ia menandakan permulaan yang berjaya bagi kilang pembuatan itu berikutan perasmiannya pada November,2010.

Ia juga penting kerana paip boleh lentur itu akan digunakan buat kali pertamanya dalam sebuah projek dasar laut di Malaysia.

"Sejak ia memulakan operasi pada Julai 2010, Asiaflex Products telah menerima pesanan dari China, India, Indonesia, Malaysia, Brunei dan Vietnam," kata Naib Presiden Kanannya di Asia Pasifik dan Pengarah Urusan di Malaysia, Edgar Pushparatnam, Khamis dalam ucapannya pada upacara penyerahan kepada Petrofac.

Beliau juga menegaskan bahawa meskipun dalam tempoh yang mencabar namun Asiaflex Products berjaya menyiapkannya mengikut jadual.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Kedua Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Azman Mahmud, berkata : "Malaysia telah mencapai kemajuan besar ke arah menjadi hab serantau bagi pembuatan jentera dan kelengkapan (M&E) dan perkhidmatan bagi industri minyak dan gas.

"Dengan kehadiran peserta-peserta utama seperti Technip, yang terdedah kepada pelbagai teknologi bertaraf dunia, mempunyai teknologi syarikat yang canggih, sektor M&E minyak dan gas Malaysia telah meraih manfaat dari segi kemajuan teknologi, pembangunan kemahiran dan keperluan penyumberan luar," katanya.

Beliau juga berkata pelaburan Asiaflex Product berjumlah lebih RM600 juta itu mencerminkan keyakinan terhadap asas-asas kukuh ekonomi Malaysia yang pelbagai.

"Kemudahan pengeluaran ini bukan sahaja menawarkan peluang perniagaan berpotensi kepada industri-industri sokongan. Ia juga mewujudkan pekerjaan, khususnya dalam kategori teknikal dan kemahiran.

"Ini pastinya akan menyumbang kepada cita-cita Malaysia untuk menjadi ekonomi berpendapatan tinggi," tegasnya.

Asiaflex Products adalah satu-satunya kemudahan pembuatan paip boleh lentur di Asia Pasifik dan merupakan kemudahan ketiga bagi Technip, selepas kilangnya yang sedia ada di Le Trait, Perancis dan Vitoria, Brazil.

Kilang itu adalah sebahagian daripada program perbelanjaan modal Kumpulan itu untuk memperkukuh kedudukan penerajunya dalam pasaran dasar laut seluruh dunia.

No comments:

Post a Comment