Seorang bapa yang didakwa menumbuk pemandu ambulans kerana dikatakan lambat tiba untuk memberi bantuan kepada isterinya yang bersalin kelmarin, semalam memohon maaf ekoran tindakannya itu.
Mohd. Azril Nor Azmi, 31, yang bekerja sebagai peniaga bagaimanapun menafikan dia menumbuk mangsa, Mahadi Mohd. Jaafar, 39 (gambar kanan), tetapi sebaliknya hanya menampar lelaki itu.
Katanya, dia bertindak demikian secara spontan ketika dalam keadaan tertekan selain bimbang dengan keselamatan anak kembarnya yang baru dilahirkan.
"Saya bertindak spontan apabila dia menjawab 'aku datang pun nasib baik' selepas saya bertanya 'mu pergi mana?' sejurus dia tiba bersama petugas perubatan di rumah saya di Kampung Alur Lintah, Besut, pukul 2.45 pagi kelmarin.
"Saya dalam keadaan tertekan kerana dua anak lelaki yang lahir tidak cukup bulan itu kelihatan tenat kerana tidak diberi rawatan sewajarnya selepas bersalin lebih setengah jam," katanya ketika ditemui di Hospital Sultan Nur Zhairah di Kuala Terengganu, semalam.
Mohd. Azril mendakwa, sebelum itu dia menghubungi Hospital Besut selepas isterinya melahirkan bayi pertama.
"Saya tidak berani menghantar isteri dan bayi ke hospital kerana bimbangkan keselamatan mereka.
"Saya akui saya salah dan saya sudah meminta maaf dengan pemandu ambulans itu tetapi saya kesal kerana kelewatan bantuan tiba, salah seorang anak saya kini kritikal," katanya.
Menurutnya, isterinya, Nur Ain Marwani Chun Abdullah, 25, melahirkan anak pertama di atas sofa di ruang tamu kira-kira pukul 2 pagi.
"Bayi itu kini mengalami pendarahan otak. Bayi kedua yang dilahirkan kira-kira 10 minit kemudian pula dalam keadaan stabil," ujarnya.
Jelasnya, nasib bayi pertamanya itu belum dapat ditentukan kerana diberitahu keadaannya kritikal dan terpaksa bergantung pada alat bantuan pernafasan.
kurang ajar punya drebar ambulans! patutnya mintak maaf dengan keluarga pakcik ni.. apa pakcik tak bagi kaki je terus kat drebar tu?
ReplyDelete